Kempunan slot Piala Malaysia 2022, Melaka United boleh lupakan saingan Liga M musim depan jika tak ‘setel’ isu gaji


  • Podium
  • Rabu, 21 Sep 2022

Skuad Hang Tuah akan terlepas berpeluang beraksi dalam kejohanan Piala Malaysia. — Facebook/Melaka United Football Club

MELAKA United FC (MUFC) tidak dibenarkan bersaing dalam kejohanan Piala Malaysia 2022 berikutan kegagalan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai, lapor Malaysian Football League (MFL).

Keputusan itu dibuat selepas kata putus dicapai Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas skuad Hang Tuah tidak melunaskan bayaran gaji yang tertunggak mengikut tarikh yang ditetapkan.

Sebelum ini, MFL memberikan satu notis peringatan kepada pihak pengurusan MUFC pada 6 September untuk mendapatkan persetujuan di antara semua pihak yang terlibat atau membayar gaji tertunggak sebelum 20 September.

Namun, setakat Rabu, pihak pengurusan hanya mengemukakan bukti pembayaran kepada pemain dan staf pengurusan sehingga Jun dengan tiada bayaran lanjut dibuktikan.

“Melaka United gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan di mana mereka hanya membuat pembayaran baki tunggakan gaji sehingga Jun. Selain itu, mereka juga belum mendapatkan persetujuan bersama pemain dan pegawai bagi bayaran baki tunggakan gaji berkenaan.

“Maka, atas sebab itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan tidak membenarkan Melaka United bertanding dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“MFL mengingatkan agar Melaka United dapat menyelesaikan baki tunggakan gaji berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak diberikan lesen bersaing dalam Liga Malaysia 2023,” jelas MFL menerusi satu kenyataan rasmi pada Rabu.

Tambah perbadanan itu, pasukan yang akan mengisi slot yang dikosongkan MUFC untuk saingan kejohanan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Dalam masa sama, MFL juga mengumumkan Sarawak United FC sudah menjelaskan semua bayaran gaji tertunggak kepada pemain sehingga bulan Ogos 2022 namun, bayaran gaji tertunggak kepada pegawai pasukan hanya dibayar sehingga Julai.

Namun, Sarawak United dan pegawai pasukan telah mencapai persetujuan bersama berkenaan bayaran tunggakan gaji bulan Ogos 2022.

“Walaupun ada usaha ditunjukkan oleh pihak pengurusan Sarawak United untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini, MFL tetap memberi peringatan kepada Sarawak United agar isu seumpama ini tidak berulang lagi yang boleh memberi kesan kepada lesen untuk bertanding dalam Liga Malaysia 2023,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram