Bukan hendak malukan, tapi kami mahu jaga kebajikan pemain — Safee Sali


  • Podium
  • Rabu, 21 Sep 2022

Safee Sali tidak mahu isu tunggakan gaji pemain berlanjutan dan berjangkit kepada mana-mana pasukan. — PFAM

BERIKUTAN masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai kejurulatihan Melaka United FC, Perbadanan Malaysian Football League (MFL) mengambil keputusan menyekat penyertaan pasukan itu dalam kejohanan Piala Malaysia 2022.

Perkara itu pastinya memberi kesan kepada kebajikan dan kesungguhan pemain dalam menyurahkan bakti kepada skuad Hang Tuah selepas pihak pengurusan masih gagal menyelesaikan isu itu.

Masalah itu sebelum ini dikongsikan Persatuan Pemain Bola Sepak Professional Malaysia (PFAM) dengan mengatakan sebanyak 17 pemain telah melaporkan perkara itu.

Menurut laporan itu, pemain skuad Hang Tuah tidak menerima gaji untuk bulan Jun dan Julai selain baki bayaran bagi Januari masih tidak dilunaskan sepenuhnya.

Presiden PFAM, Safee Sali berkata, pihaknya tidak akan berputus asa dalam memastikan kebajikan pemain dan barisan kejurulatihan pasukan itu terus dijaga.

"Kita akan teruskan mengambil tindakan dengan menghantar surat kepada pihak pengurusan untuk meminta gaji pemain Melaka United terus dibayar," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mencemarkan imej dan reputasi pasukan Hang Tuah, namun ia adalah untuk memastikan kesemua gaji tidak dibayar dapat diselesaikan menerusi saluran tepat.

1733039

Pemain MUFC menjadi mangsa di atas ketirisan dan sikap lepas tangan pihak pengurusan. Facebook/PFAM

"Kita pun, bukannya hendak mencemarkan nama Melaka atau kelab, tetapi PFAM hanya mahu pihak pengurusan melunaskan kewajipan kepada pemain dan bukanlah hendak kita hebohkan kepada media akan isu itu," katanya.

6 September lalu, Melaka United diberikan amaran daripada MFL untuk menyelesaikan pembayaran atau mencapai kata persetujuan di antara kedua-dua pihak sebelum 20 September sekiranya mahu bersaing dalam Piala Malaysia.

Namun, tiada pengumuman mahupun laporan daripada kelab itu yang menyatakan pembayaran dibuat sehingga memaksa MFL menyekat penyertaan mereka daripada kejohanan itu hujung tahun ini.

Dalam masa sama, bekas pemain kebangsaan itu juga menjelaskan isu tunggakan gaji Sarawak United FC telah diselesaikan sepertimana yang dikongsikan menerusi laman media sosial kelab itu.

"Mengenai Sarawak United pula, mereka sudah melunaskan gaji yang tertunggak, jadi tiada lagi masalah dan pihak pengurusan memberikan kerjasama baik atas laporan pemain.

"Setakat hari ini, tiada lagi laporan pemain daripada pasukan-pasukan lain, hanya pemain dua kelab itu sahaja yang mengeluarkan laporan," katanya.

Skuad Ngap Sayot musim ini juga terpalit dengan isu tunggakan gaji dengan ada daripada mereka tidak menerima bayaran selama empat bulan meskipun turun beraksi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram