BERJAYA membenam tuan rumah Thailand, kapten Harimau Malaya, Dion Cools memuji kesungguhan dan semangat yang ditonjolkan oleh pasukan dalam saingan Piala Raja Thailand di Chiang Mai pada Khamis.
Pemain berusia 26 tahun itu turut berpendapat skuad Harimau Malaya sudah memberikan aksi perlawanan terbaik ketika menentang pasukan hebat seperti Thailand.
"Pertempuran yang hebat. Kami berikan segala-galanya. Bersaing untuk setiap cabaran dengan lawan yang kuat," katannya menerusi ciapan di Twitter pada Jumaat.
Dalam pada itu, Cools turut menyatakan dirinya tidak sabar untuk bersama rakan sepasukan memberikan aksi terbaik di pentas final pada Ahad.
"Ayuh kita akhiri Ahad ini (nikmati kejayaan)," ujarnya.
Kemenangan itu sekali gus memastikan Harimau Malaya mara ke final selepas menewaskan pasukan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 setelah terikat 1-1 pada masa sebenar 90 minit permainan.
Malaysia akan menentang Tajikistan dalam perlawanan akhir di Stadium 700th Anniversary, Chiang Mai pada Ahad.
Cools yang diberi kepercayaan oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sebagai kapten dilihat mempamerkan persembahan cemerlang dan menjalankan tugas dengan baik terutama mengawal benteng pertahanan bersama Matt Davies dan Khuzaimi Piee.
Trio itu bersama dengan Ahmad Syihan Hazmi bertindak sebagai benteng terakhir berjaya menyekat asakan bertali arus pasukan lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram