TIDAK dinafikan, prestasi skuad bola sepak negara sebelum ini berada dalam fasa yang terumbang ambing dan tidak menampakkan sebarang kemajuan.
Malah, prestasi yo-yo Harimau Malaya membuatkan penyokong mula risau dan ada yang ibarat sudah putus harapan untuk memberi sokongan.
Malah, sasaran yang ditetapkan untuk mara ke peringkat final Piala Suzuki AFF 2020 juga tidak tercapai selepas tersingkir awal di peringkat kumpulan.
Aksi pemain Harimau Malaya ketika bertemu Thailand. — Facebook/FAM
Kemuncaknya, ketua jurulatih Harimau Malaya ketika itu, Tan Cheng Hoe memilih untuk meletak jawatan ekoran kegagalan skuad negara.
Ibarat ada sinar baharu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kemudian memilih Kim Pan-gon untuk menggantikan Cheng Hoe.
Walaupun masih terlalu awal untuk menilai kemampuan Pan-gon, beberapa keputusan yang diperolehnya bersama Harimau Malaya mula menunjukkan petanda positif.
Selepas berjaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir di Piala Asia, Harimau Malaya baru-baru mencapai kejayaan baharu selepas menewaskan Thailand.
Anak buah Pan-gon berjaya layak ke final Piala Raja Thai dan akan berdepan Tajikistan dalam aksi yang dijadualkan berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai pada Ahad.
Apa resipi awal yang digunakan oleh Pan-gon untuk mengemudi pasukan sehingga memperoleh keputusan positif sedangkan sebelum ini ramai yang risau mengenai prestasi negara termasuk cakap-cakap mengenai ketandusan pemain.
Tetapi, Pan-gon berjaya membuat pertukaran pemain yang akhirnya berjaya membawa tuah kepada skuad negara.
Skuad Harimau Malaya berjaya meraih meraikan kejayaan menumpaskan Thailand baru-baru ini. — Facebook/FAM
Sebagai contoh, Pan-gon memilih untuk kembalikan Darren Lok menggantikan De Paula kerana prestasinya yang cukup baik dalam Liga Super.
Selain itu, Declan Lambert mula dimasukkan bersama skuad kebangsaan untuk menggantikan Corbin Ong.
Dua lagi pemain yang digantikan iaitu Khuzaimi Piee (pertahanan) dipilih menggantikan Aidil Zafuan dan penjaga gol, Farizal Marlias yang beraksi sebelum ini digantikan dengan Syihan Hazmi.
Kesemua pertukaran itu nampaknya berjaya membuahkan hasil positif kepada negara. Tetapi satu yang menarik kesemua pemain yang ditukar itu adalah pemain Johor Darul Takzim (JDT).
Ini membuktikan yang negara sebenarnya masih belum ketandusan bakat pemain dan banyak lagi pemain dalam Liga Super yang masih boleh dibentuk.
Namun, apa sekalipun kejayaan yang diperoleh Harimau Malaya di bawah Pan-gon masih terlalu awal untuk dinilai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram