Pertikaman lidah TMJ-Sanusi tak beri pengaruh buruk — Rizal Hashim


  • Podium
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Rizal Hashim berpendapat troll antara TMJ-Sanusi adalah satu kebiasaan dalam sukan bola sepak. — Stadium Astro

SEJAK mengambil alih jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada 2021, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sering mewarnai arena bola sepak dengan pertikaman lidah bersama pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

Perbalahan yang sering diadakan menerusi media sosial itu tidak pernah mengecewakan apabila kedua-dua pihak bijak menggunakan bunga bahasa dan kata-kata kiasan.

Tidak cukup dengan itu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) pada Khamis menggunakan satira berbentuk lukisan menggambarkan Menteri Besar Kedah itu berpakaian seperti badut.

Lukisan yang dihantar menerusi Instagram peribadi milik baginda juga disertai coretan mengatakan Sanusi tidak mempunyai kredibiliti untuk memegang sebarang jawatan.

Perkara itu pastinya mengundang perhatian orang ramai, terutama penyokong JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan masing-masing tidak mahu melihat individu yang disanjung terus diusik.

Namun, di sebalik keghairahan penyokong, ada juga yang melihat isu itu sedikit sebanyak menjejaskan reputasi bola sepak tempatan dengan melihat pengaruh dua individu itu.

Mereka berpendapat, pertelingkahan yang berlaku itu dikhuatiri membawa perbalahan lebih besar di atas padang sekiranya kedua-dua pihak berdegil untuk mencari kata putus di atas 'permusuhan' itu.

Bagi penganalisis sukan, Rizal Hashim, beliau berpendapat sebaliknya dengan melihat situasi yang berlaku di antara TMJ dan Presiden KFA itu tidak akan menjejaskan reputasi arena bola sepak tanah air.

Untitled design (1)

Percakaran Sanusi (kiri) dan TMJ di media sosial sering dinanti-nantikan penyokong kedua-dua pasukan.

"Bagi saya, pertikaman lidah di antara dua tokoh ini tidak akan memberi gambaran buruk kepada bola sepak negara kerana tidak ada garis panduan yang mengikat mana-mana individu berbanding media arus perdana.

"Bola sepak sejak dahulu lagi tidak lekang dengan pertukaran pendapat, kritikan dan luahan rasa, cumanya dahulu hanya di dada akhbar atau di kedai kopi, kini ditatap netizen dan tular kepada penonton yang besar," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, perbalahan itu dilihat dalam skala atau situasi yang besar disebabkan kehadiran media sosial sehingga menyebabkan orang ramai lebih peka akan perkara itu.

Bagaimanapun, Rizal juga berkata, perbalahan yang berlaku di sebalik tabir itu tidak perlu dibesar-besarkan sehingga menyebabkan persaingan tidak sihat di dalam padang.

"Cumanya, jangan disebabkan 'pertelingkahan', gurauan atau seloroh ini melimpah ke padang kerana bola sepak adalah sukan yang mencetus emosi dengan mudah," katanya.

Dalam masa sama, Rizal berpendapat, prestasi skuad Sang Kenari yang kurang bersinar musim ini bukanlah sepenuhnya boleh dipersalahkan ke atas Menteri Besar Kedah itu.

"Saya lihat Kedah FA, sebagaimana persatuan negeri lain, sedang dalam proses melicinkan tadbir urus kepada KDA FC mengikut formula penswataan yang dicadangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Tindakan Menteri Besar (Sanusi) melantik Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sebagai penaung dan seterusnya menjadi pemegang saham terbesar dalam struktur pemilikan KDA FC menepati amalan terbaik tadbir urus sesebuah kelab bola sepak. Prestasi atau keputusan cemerlang akan datang kemudian," katanya.

KDA FC selepas ini akan berada di pemilikan baharu selepas Mohd Daud disahkan menjadi pemegang saham terbesar skuad Sang Kenari pada 6 September lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram