JDT sering jadi sasaran, akhirnya TMJ dedah Selangor 'control' bola sepak negara


  • Podium
  • Rabu, 21 Sep 2022

Sesi soal jawab yang diadakan menjadi medan untuk merapatkan hubungan antara pemilik dan peminat bola sepak Johor. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SESI soal jawab yang diadakan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris pada Selasa memberi peluang kepada penyokong untuk mendapatkan pencerahan melibatkan pelbagai isu.

Program yang dianjurkan di ruang media Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bharu itu dihadiri ratusan peminat yang sempat bertanya pelbagai soalan kepada pencetus kejayaan Harimau Selatan itu.

Antara soalan yang diaju ialah isu pengguguran bekas ketua jurulatih, Benjamin Mora dan khabar angin perpindahan dua bintang Eropah, Alejandro 'Papu' Gomez dan Mesut Ozil.

Selain itu, persoalan mengenai perkembangan bola sepak tempatan dan Liga Malaysia juga dijawab oleh putera Sultan Johor itu dalam sesi yang berlanjutan hampir dua jam itu.

Isu hangat diperkatakan semasa program itu adalah apabila TMJ menempelak tuduhan dan persepsi orang ramai yang mengatakan sukan bola sepak di negara ini dikawal Johor.

Sebaliknya, beliau berkata, kebanyakan pihak pengurusan seperti pengerusi jawatankuasa pengadil adalah dikelolakan oleh pihak berasal dari Selangor.

"Awak tengok, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ialah seorang yang dilahirkan di Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Datuk S Sivasundaram juga orang Selangor.

"Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Malaysia Football League (MFL), Stuart Ramalingam juga orang Selangor. Awak nak kata Johor yang mengawal bola sepak, Selangor yang kawallah," katanya.

Baginda berkata demikian bagi mengulas mutu pengadilan yang menjadi topik perbualan hangat, lebih-lebih lagi dalam pertembungan Liga Super antara JDT dan Selangor FC.

305108298_2391694360993849_5204329569672005611_n

Tunku Ismail Idris sempat bertemu peminat JDT dalam sesi soal jawab itu. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Dalam perlawanan itu, pemain Gergasi Merah dikatakan mengasari pemain JDT sehingga terdapat 33 'foul' yang dilakukan, tetapi hanya empat kad kuning dilayangkan.

Penjelasan itu menerima pelbagai respons daripada peminat di media sosial, malahan ada yang menyokong ulasan yang dibuat 'tulang belakang' kepada kejayaan Harimau Selatan itu.

"Itulah faktanya, TMJ sememangnya layak berkata sebegitu kerana dia mempunyai rekod dan pencapaian yang pasukan lain hanya boleh lihat dan cemburu dengan kejayaan JDT," kata Muhammad Nazrin Abdullah.

"Kenyataan Tunku Ismail Idris ini membongkar segala-galanya. Tidak perlulah sorok di mana-mana lagi," kata Lepat Cendol yang menyokong kenyataan baginda.

Namun, di sebalik itu, ada juga yang menolak ulasan yang diberikan TMJ dengan memberikan ulasan tersendiri apabila membicarakan mengenai isu pengadilan di negara ini.

"Apa perlunya untuk menyentuh bab-bab pengurusan pasukan dari negeri lain, jaga dan uruskan pasukan sendiri sahaja sepatutnya. Tidak pelik kenapa JDT sering dicemuh," kata Meor Alias MH.

"Pada saya, kedua-dua pasukan tiada bezanya kerana jika ada pertemuan dengan penyokong, kira OK-lah. Tetapi, sebagai penyokong, mungkin kita berani untuk bersuara di media sosial namun, ketika berdepan, tidak ubah seperti tikus," kata Shahrul Nizam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram