TMJ kata pegang semua benda gagal? Jom semak 3 prestasi semasa Sanusi Md Nor


  • Podium
  • Khamis, 22 Sep 2022

Benarkah tanggapan ramai yang mengatakan Presiden KFA itu tidak membawa sebarang kejayaan buat Kedah? — Facebook/Mohammad Sanusi Md Noor

DALAM sukan bola sepak, persaingan di atas padang dikatakan sebagai persaingan sihat apabila sesebuah pasukan berusaha untuk membuktikan kebolehan mereka yang tersendiri.

Rentak permainan yang cuba dipamerkan bukan sahaja menjadi penentu kejayaan, malah kualiti pemain dan staf kejurulatihan menjadi kayu ukur dalam menarik penyokong masing-masing.

Tetapi, kadang kala, 'rencah' sukan itu boleh ditambah dengan perang mulut yang berlaku di luar padang, lebih-lebih lagi sekiranya ia berlaku antara dua individu besar di sebalik tabir.

Dalam arena bola sepak tempatan, perkara itu sering berlaku di antara pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris dan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Perbalahan yang sering dilakukan menerusi media sosial itu tidak pernah gagal mencuri perhatian peminat sukan itu dengan tohmahan dan usikan di antara kedua-dua pihak.

Pada Khamis, TMJ melakukan satu hantaran dalam Instagram peribadinya yang menunjukkan karikatur seakan-akan Menteri Besar Kedah itu berpakaian badut dengan nama 'Suweynasi' di bajunya.

Hantaran itu juga disertakan dengan penulisan ringkas yang mengatakan Sanusi tidak pernah membawa kejayaan ke dalam sukan negeri itu selain gagal untuk menguruskan ekonomi dan kebajikan negeri sebaik mungkin.

Namun, persoalannya, benarkah kenyataan yang mengatakan Sanusi tidak membawa kejayaan kepada arena bola sepak Kedah selepas mengambil alih jawatan itu pada 2021?

1. Kedah Darul Aman FC

Sejak 2021, skuad Sang Kenari dikenali sebagai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas perubahan struktur pemilikan dengan 80 peratus berada di bawah Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) dan 20 peratus lagi diletakkan di bawah KFA.

Perubahan itu juga diumumkan Sanusi dengan musim itu menjadi permulaan kepada kehadiran beliau dalam arena bola sepak Kedah berikutan perubahan landskap politik.

Sejak itu, KDA FC dilihat mengalami perubahan demi perubahan dengan yang paling ketara adalah apabila legenda dan kapten skuad, Baddrol Bakhtiar berhjirah pada 2022.

Perkara itu mengundang pelbagai persoalan daripada penyokong Hijau Kuning dengan ada yang mengatakan campur tangan pihak atasan dan pengurusan kucar-kacir menjadi faktor perpindahannya.

Hal itu turut menerima perhatian daripada pemilik JDT itu dengan menyatakan pasukan sehebat KDA FC tidak memerlukan individu sebegitu yang hanya pandai berkata-kata.

Tetapi, timbul pula persoalan, bagaimana prestasi skuad Sang Kenari di atas padang sejak Menteri Besar itu memegang jawatan tersebut sekiranya tidak membincangkan mengenai jendela perpindahan itu?

Di Liga Super, KDA FC menduduki tempat kedua musim lalu dengan dibezakan 14 mata berbanding skuad Harimau Selatan yang menjulang trofi Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.

Musim ini pula, mereka kelihatan sedikit bergelut dalam liga selepas satu kempen yang padat dengan penyertaan dalam kejohanan Piala AFC dan Piala FA.

Skuad Sang Kenari berada di kedudukan kelima dan masih tidak mengibarkan bendera putih untuk mengejar kedudukan tiga teratas dalam usaha bersaing di pentas Asia sekali lagi.

Adakah perkara ini menunjukkan kegagalan Sanusi dalam memegang jawatan sebesar itu apabila mereka sebelum ini kelihatan sebagai satu pasukan yang tidak henti-henti mencabar kejuaraan?

Jawapannya adalah mudah, iaitu ya dan tidak.

KDA FC musim ini kelihatan bergelut dengan penyokong sering melontarkan persoalan mengenai gaya pengurusan yang cuba diamalkan Menteri Besar itu sehingga memaksa pertemuan dan sesi soal jawab antara kedua-dua pihak.

Tidak cukup dengan itu, pihak pengurusan juga kelihatan berkali-kali mengeluarkan kenyataan apabila segelintir daripada penyokong mula mempersoalkan situasi kewangan pasukan itu.

WhatsApp Image 2022-09-22 at 13.53.54

KDA FC tersingkir dari Piala AFC 2023 di peringkat separuh akhir zon ASEAN. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Perkara itu semestinya memberi reputasi yang kurang senang mengenai kedudukan dan keadaan Sang Kenari dalam usaha muncul sebagai salah satu pasukan yang stabil.

Tetapi, prestasi Kedah sebagai sebuah pasukan di atas padang tidaklah terlalu mengecewakan sekiranya hendak dibandingkan dengan beberapa tahun sebelum ini.

Mereka berjaya menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua, yang merupakan persembahan terbaik sejak kali terakhir berada di kedudukan ketiga pada 2016.

Dalam saingan Piala Malaysia musim ini pula, mereka berjaya menamatkan saingan musim lepas di peringkat suku akhir apabila disingkirkan skuad Harimau Selatan itu.

Perkara itu tidaklah menunjukkan satu perubahan yang terlalu merudum sehingga dapat mengatakan prestasi KDA FC di bawah Sanusi yang memegang jawatan Presiden KFA begitu teruk.

2. Pasukan belia dan remaja

Tidak boleh dinafikan, 'ubi-ubi muda' merupakan satu prospek yang boleh menggembirakan penyokong sesebuah pasukan apabila persembahan pemain muda berkualiti jarang menghampakan.

KDA FC merupakan salah satu pasukan yang sering melahirkan wajah-wajah baharu dalam bola sepak tanah air seperti Baddrol Bakhtiar, Ifwat Akmal dan prospek muda terkini, Fayadh Zulkifli.

Kesemua pemain itu adalah hasil daripada pembangunan bola sepak belia yang berjaya menghasilkan seorang pemain berkualiti yang boleh dimanfaatkan pasukan kebangsaan.

Oleh itu, tidak pelik sekiranya mengatakan penekanan sewajarnya perlu diberikan ke atas bakat-bakat muda menerusi pendedahan awal dan program-program bermutu.

304901972_500503558577666_8946304035778015924_n

Pasukan B-15 Kedah berjaya muncul sebagai juara MSSM 2022. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Baru-baru ini, pasukan Bawah 15 (B-15) Kedah muncul juara dalam kejohanan Majlis Sukan-sukan Malaysia (MSSM) selepas menundukkan pasukan Kelantan pada awal September lalu.

Perkara itu membolehkan pasukan-pasukan kecil sekitar Kedah untuk menghidu pemain muda yang boleh dibawa masuk sekali gus diberikan didikan secukupnya sehingga boleh menyertai skuad senior Sang Kenari.

Meskipun ia tidaklah sepenuhnya berada di bawah pengaruh Presiden KFA itu, kejayaan skuad B-15 Kedah pada kejohanan itu jelas menunjukkan bahawa segala usaha yang diberikan Sanusi tetap membuahkan hasil.

Ia juga merupakan kali pertama Kedah menjulang kejuaraan B-15 buat julung kalinya sejak 2008 yang pastinya berpunca daripada penekanan bersungguh-sungguh daripada pihak pengurusan KFA.

3. Sukma 2022

Dalam hantaran yang dibuat TMJ, baginda juga berkongsi carta kutipan pingat Sukan Malaysia 2022 (Sukma 2022) dengan pasukan Kedah berada di kedudukan ke-13 apabila hanya mengutip dua pingat emas dan 12 pingat secara keseluruhan setakat ini.

Perkara itu dilihat sebagai seolah-olah satu kegagalan buat Sanusi apabila sasaran 25 pingat emas yang ditetapkan sebelum kejohanan seakan-akan sukar untuk dicapai.

Dalam carta itu juga, pasukan Johor berada di tangga teratas dengan 35 pingat emas sudah dikumpul yang menjadikan 76 pingat sudah berjaya dibawa pulang kontinjen negeri itu.

Pencapaian itu juga dijadikan bahan jenaka penyokong yang mengikuti perbalahan 'sihat' antara TMJ dan Sanusi dengan mengatakan Kedah masih tidak dapat mengatasi negeri Selatan tanah air itu dalam sukan-sukan yang lain.

41662617962_MBKedahSUKMA

Kontinjen Sukma Kedah hanya berjaya mengumpul dua pingat emas setakat ini. Astro Awani

Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa pencapaian dan prestasi pasukan Sukma Kedah tahun ini adalah tidak memberangsangkan apabila mereka pada penganjuran sebelum ini berjaya membawa pulang 19 pingat emas.

Perkara ini dilihat sebagai sebagai satu prestasi merudum daripada kontinjen Kedah berbanding sebelum ini dengan kemungkinan besar penekanan ke atas badan sukan diberikan dengan lebih mendalam.

Tidak cukup dengan itu, pasukan bola sepak Sukma negeri itu juga gagal melepasi peringkat kumpulan setelah hanya mengutip satu mata apabila seri dengan Pulau Pinang yang mara ke final, selebihnya tewas.

Kegagalan itu juga pastinya diberi perhatian daripada peminat bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi pingat emas yang ditawarkan itu juga dikenali sebagai ibu segala pingat buat temasya pencungkil bakat muda seperti Sukma. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram