Gajah Perang jadi lauk tomyam Harimau Malaya, resipi kimci terus menjadi


  • Podium
  • Khamis, 22 Sep 2022

Penyerang kebangsaan, Darren Lok (tengah) cuba melepasi halangan pemain Thailand dalam aksi Piala Raja Thailand malam tadi. — Facebook/FAM

SKUAD Harimau Malaya menempah slot final Piala Raja Thailand 2022 apabila menjinakkan tuan rumah, Thailand menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas kedua-dua pasukan terikat dengan skor 1-1 selepas tamat masa sebenar perlawanan di Stadium Chiang Mai pada Khamis.

Bek kiri Harimau Malaya, Lavere Corbin Ong muncul wira negara apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti terakhir selepas sepakan ketiga pemain tuan rumah, Supachok Sarachat berjaya diselamatkan penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi.

Empat lagi sepakan penalti skuad Harimau Malaya berjaya diselesaikan oleh Dions Cool, Syafiq Ahmad, Declan Lambert dan Matthew Davies.

Kemenangan itu pastinya menjadi tonik semangat skuad kendalian Kim Pan-gon menjelang Piala AFF 2022 Disember depan, sekali gus mengekalkan momentum kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun lepas.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Corbin Ong yang berjaya menampan masuk hantaran lintang pemain sayap kanan, Safawi Rasid pada pertengahan babak pertama.

corbin

Corbin Ong muncul wira negara ketika membantu Harimau Malaya menjinakkan Thailand malam tadi. — Facebook/FAM

Skuad kebangsaan sememangnya beraksi dalam semangat tersendiri dengan memaparkan persembahan bersemangat sepanjang 90 minit perlawanan di hadapan ribuan penonton.

Buat pasukan tuan rumah pula, kehilangan bintang, Chanatip Songkrasin yang terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama perlawanan menyukarkan rentak mereka.

Pemain yang beraksi di Liga J1 di Jepun itu sememangnya satu kelibat yang penting dalam pasukan itu, namun kecederaan yang melanda memaksanya untuk digantikan.

Pada babak kedua pula, skuad Thailand kelihatan lebih bersemangat dengan melancarkan serangan demi serangan ke arah kubu pasukan pelawat, namun digagalkan dengan kecemerlangan Syihan Hazmi.

Serangan demi serangan tuan rumah akhirnya berbaloi menerusi tandukan penyamaan Pansa Hemviboon pada penghujung masa kecederaan, sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti dan menceriakan ribuan penyokong tuan rumah.

Dengan kemenangan itu, Harimau Malaya menempah aksi final Piala Raja Thailand berdepan Tajikistan di venue sama pada Ahad selepas Tajikistan terlebih dahulu mara apabila mengatasi Trinidad & Tobago 2-1 dalam satu lagi aksi pada petang Khamis.

Thailand pula terpaksa berpuas hati berdepan Trinidad & Tobago dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat pada edisi kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram