Cools sedia guna kelebihan bantu misi Harimau Malaya di Piala Raja-Raja Thai


  • Podium
  • Rabu, 21 Sep 2022

Pengalaman di Eropah serta keserasiannya dengan rakan sepasukan mungkin antara faktor Cools terpilih untuk jadi salah seorang kapten Harimau Malaya. — Facebook/ FAM

PENGALAMAN di Eropah akan dijadikan sandaran buat tonggak Harimau Malaya, Dion Cools untuk bantu skuad Harimau Malaya untuk mengharungi saingan Piala Raja Thai ke-48 di Chiang Mai, Thailand bermula Khamis.

Jelas Cools, kelebihan tersebut mungkin menjadi antara faktor namanya dipilih Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sebagai salah seorang calon kapten skuad tersebut.

"Pemilihan saya sebagai salah seorang calon kapten mungkin disebabkan pengalaman dimiliki. Selain saya juga mempunyai hubungan yang baik dengan rakan-rakan sepasukan.

“Kami sudah memahami corak permainan antara satu sama lain dan mahu bermain bersama-sama sebagai satu pasukan.

“Secara keseluruhanya, saya gembira apabila dapat kembali beraksi di posisi sebenar (pertahanan), iaitu posisi di mana saya sering membantu pasukan saya ketika beraksi di Eropah,” katanya menerusi temu bual di Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu.

Untuk rekod, Cools merupakan salah seorang pemain yang dipilih selaku kapten selain Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad bagi mengharungi kejohanan jemputan berkenaan yang dijadualkan berlangsung di Chiang Mai, mulai 22 hingga 25 September ini.

Skuad negara dijadualkan berdepan tuan rumah Thailand pada Khamis sebelum berdepan sama ada Trinidad & Tobago atau Tajikistan pada Ahad, bergantung kepada keputusan dengan Thailand.

Sementara itu, pemain tengah skuad Harimau Malaya, Nazmi Faiz Mansor berazam untuk beraksi dalam kesebelasan utama berdepan Thailand, pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, segala keputusan berhubung perkara berkenaan terletak sepenuhnya kepada Pan-gon, yang pastinya memiliki idea tersendiri mengenai kesebelasan utama yang bakal beraksi kelak.

“Jika diberikan peluang, memang saya mahu beraksi dalam kesebelasan utama, tetapi coach (Pan-gon) ada idea tersendiri yang kita tidak tahu.

“Ada special kat situ terutamanya dalam pertukaran pemain. Apa pun kesemua pemain perlu bersedia dan bagi saya paling penting adalah disiplin dan berikan 100 peratus dalam setiap game kerana kita nak menang piala ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram