Demi Brendan Gan benci jadi sayang, musuh tradisi pun sokong Harimau Malaya


  • Podium
  • Khamis, 22 Sep 2022

Sekiranya menewaskan Thailand, Harimau Malaya bertemu pemenang antara Trinidad & Tobago atau Tajikistan dalam kejohanan empat penjuru itu. — Facebook FAM

HARIMAU Malaya yang dijadualkan menentang pasukan Thailand dalam Kejohanan Piala Raja Thailand ke-48 pada malam ini dijangka memberi saingan sengit buat pasukan tuan rumah tersebut.

Dengan beberapa muka baharu dalam pasukan kebangsaan pasti membuatkan ramai penyokong Harimau Malaya tidak sabar menonton taktikal dan corak permainan yang bakal dipamerkan barisan pemain.

Selain muka-muka baharu seperti Rahadiazli Rahalim, Sharul Nazeem dan Declan Lambert, kelibat pemain senior, Brendan Gan turut menjadikan penyokong teruja untuk menyaksikan aksi pertama Kejohanan Piala Raja Thailand itu.

Mana tidaknya, selepas pulih daripada kanser testis yang dialami tahun lalu, kejohanan itu merupakan penampilan pertama sejak 2019, lebih tepatnya ketika saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bukan hanya penyokong Malaysia yang tidak sabar ingin melihat aksi pemain tengah Selangor ini, malah peminat dari negara jiran, Indonesia turut menyokongnya.

BRENDAN GAN

Pan-gon menyenaraikan Brendan bagi menghadapi saingan Piala Raja Thai sekaligus pemain itu kembali beraksi bersama pasukan kebangsaan buat kali pertama sejak 2019. — Facebook FAM

“Lupakan penyokong kebudak-budakan dari negara saya atau anda, kerana saya tahu itu bukan sebahagian daripada bola sepak dan perlu diingat di luar bola sepak kita adalah kawan baik dan menguntungkan satu sama lain! Saya mengucapkan selamat kembali ke skuad kebangsaan Brendan Gan selepas bertarung hebat dengan kanser!,” tulis penyokong Indonesia, Randue Jeneng.

Selamat kembali ke skuad kebangsaan Brendan...Mari bertempur antara Indonesia dan Malaysia dengan lebih kuat untuk meningkatkan negara kita. Salam dari Indonesia,” kata penyokong Indonesia, Ramdan Rozaks Yulianto

Saya harap Brendan Gan berada dalam kesebelasan utama Malaysia esok (Khamis) #malaysiaboleh,tulis Muhd Zulkarnain.

Selain Brendan, dua pemain sayap negara, Faisal Halim dan Arif Aiman menjadi pemain yang dijangka membarisi kesebelasan utama pilihan Kim Pan-gon.

Brendan dan pemain lain berlepas ke Chiang Mai untuk berdepan tuan rumah, Thailand bagi perlawanan pertama pada Khamis, 22 September 2022, jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia) di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram