Bukan kelab teruk, Bojan Hodak anggap Penang FC 'sparring partner' terbaik menjelang final AFC


  • Podium
  • Jumaat, 23 Sep 2022

Skuad KL City enggan memandang mudah cabaran Penang FC menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Super, malam esok.

MESKIPUN sedang menghitung hari-hari untuk menghadapi final Antara Zon Piala AFC Oktober depan, Kuala Lumpur (KL) City FC pasti tidak akan mengambil mudah baki aksi Liga Super musim 2022.

Menjelang perlawanan menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu ini, ketua jurulatih skuad Warga Kota, Bojan Hodak menganggap ia sebagai langkah persediaan sebelum melangkah ke pentas akhir kejohanan berprestij itu.

Menurutnya, walaupun rekod skuad Harimau Kumbang berada dalam kedudukan tercorot liga, namun ia bukan alasan buat anak-anak buahnya menganggap mereka adalah lawan yang mudah.

Hal ini kerana, pengendali berusia 51 tahun itu tidak dapat menafikan skuad Harimau Kumbang pastinya akan bermain dengan cukup cemerlang di halaman sendiri.

WhatsApp Image 2022-09-22 at 7.47.20 PM

KL City menang 2-1 di tangan Penang FC pada Mei lalu di Stadium Cheras.

“Setiap perlawanan kita turun untuk menang. perlawanan ini kita ada rehat yang cukup. Kami akan berusaha untuk menang perlawanan ini. Kami anggap perlawanan ini sebagai persediaan untuk Piala AFC di Uzbekistan.

“Penang bukanlah kelab yang teruk, mungkin mereka akan ada nasib baik dalam beberapa perlawanan terakhir ini. Dengan main di laman sendiri mesti mereka ada kesungguhan untuk main.

“Ini pasti bukan permainan yang mudah. Mungkin mereka akan bermain secara bertahan, jadi itu menyukarkan permainan kami,” katanya kepada Majoriti.

Malah, Bojan juga akui beberapa anak buah Datuk Zainal Abidin seperti pemain pertahanan, Rafael Vitor dan Lucas Silva perlu diberikan perhatian oleh pemainnya.

Dalam pada itu, berbicara mengenai dua tonggak utamanya Declan Lambert dan Zhafri Yahya yang kini bersama skuad Harimau Malaya bagi kejohanan Piala Raja Thailand 2022, Bojan memandang perkara itu dari sudut yang positif.

“Ketiadaan Zhafri dan Declan dalam perlawanan itu sebenarnya memberi peluang untuk pemain simpanan beraksi,” jelasnya.

Skuad Warga Kota kini berada di tangga keenam Liga Super selepas 18 perlawanan apabila mengutip 26 mata setakat ini.

Anak-anak buah Bojan bakal berdepan cabaran wakil Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh pada aksi final antara zon Piala AFC yang akan berlangsung pada 5 Oktober depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram