Tak pernah jinakkan Harimau Malaya 5 aksi terakhir, ego Gajah Perang tetap tinggi melangit dengan 2 bintang J-League


  • Podium
  • Khamis, 22 Sep 2022

Thailand pernah menjulang trofi Piala Raja Thailand sebanyak 14 kali. — Agensi

KETUA jurulatih Thailand, Alexandre Mano Polking yakin skuad Gajah Perang mampu menewaskan Malaysia pada aksi pembukaan Piala Raja Thailand 2022 di Chiang Mai pada Khamis sekali gus mara ke peringkat final kejohanan berprestij itu.

Pengendali dari Brazil itu percaya skuad bimbingannya mampu memberi saingat sengit kepada Harimau Malaya.

"Ia pasti satu cabaran yang sukar untuk mengalahkan Malaysia tetapi saya ada keyakinan terhadap skuad saya," katanya memetik laporan Bangkok Post.

Dalam lima pertemuan terakhir, Thailand gagal menewaskan Harimau Malaya, namun Polking tidak bimbang dengan rekod itu.

“Malaysia adalah pasukan yang bagus dan mempunyai ramai pemain yang kuat dan berkualiti.

np_file_152987

Chanatip yang menerima jolokan Messi Thai akan bertindak sebagai play maker untuk skuad Gajah Perang. — Agensi

"Pemain kami baru sahaja beraksi dalam liga Thailand tetapi ia bukanlah satu masalah kerana kami membuat persediaan rapi untuk perlawanan ini," katanya lagi.

Tambah Polking, skuad Gajah Perang akan diketuai oleh dua pemain yang kini beraksi bersama kelab Jepun, Chanathip Songkrasin dan Supachok Sarachat sebagai kapten pasukan.

Untuk rekod, Chanatip yang menerima jolokan Messi Thai bermain untuk Kawasaki Frontale sebagai pemain tengah dan akan bertindak sebagai play maker untuk skuad Gajah Perang.

Supachok pula merupakan pemain tengah menyerang (AMF) kelab Thailand, Buriram United yang dipinjamkan ke Hokkaido Consadole Sapporo hingga akhir musim ini.

Supachok-Sarachat-Thailand

Supachok juga antara pemain yang wajar digeruni Harimau Malaya. — Agensi

"Memang bagus untuk memiliki pemain seperti Chanathip dan Supachok dalam pasukan.

"Selain itu, ada beberapa pemain lain yang bagus. Saya percaya setiap pemain akan memberikan aksi terbaik.

"Kami juga akan memberi peluang kepada bintang muda untuk menyinar dalam kejohanan ini," kata Polking.

Selain Malaysia, kejohanan juga disertai tuan rumah Thailand, Tajikistan dan Trinidad & Tobago.

Saingan kali ini berlangsung menggunakan format kalah mati menyaksikan pemenang akan mara ke perlawanan akhir, manakala pasukan yang tewas beraksi penentuan tempat ketiga.

Untuk rekod, Thailand berjaya menjulang trofi Piala Raja Thailand sebanyak 14 kali manakala Malaysia pernah muncul juara empat edisi kejohanan itu pada 1972, 1976, 1977 dan 1978. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram