'Belum cukup layak', 'fans' Kedah kongsi sebab Fayadh tidak tersenarai Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 20 Sep 2022

Fayadh masih perlu perbaiki beberapa aspek dalam kemahiran bola sepaknya sebelum dapat menyarung jersi Harimau Malaya. — Facebook/KDA FC

TIADA siapa mampu menyangkal potensi 'ubi muda' Kedah Darul Aman (KDA), Fayadh Zulkifli dalam sukan bola sepak setelah mempamerkan persembahan positif pada musim ini.

Setakat ini, pemain kelahiran Baling, Kedah tersebut sudah pun meledak 10 gol secara keseluruhan dalam semua aksinya bersama skuad Sang Kenari musim ini.

Di bawah kendalian ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, pemain berusia 24 tahun itu lebih banyak beroperasi di posisi sayap kanan dan kiri untuk memberi nilai tambah dari segi intensiti permainan pasukan.

Selain itu, Fayadh juga mampu menyempurnakan peranan sebagai pemain tengah serangan sekali gus mampu membantu pasukan melakukan hantaran cantik.

Namun, kesemua kelebihan tersebut nampaknya masih belum cukup untuk melayakkan Fayadh untuk menyarung jersi Harimau Malaya apabila namanya tidak tersenarai mewakili negara untuk saingan King’s Cup di Chiang Mai, Thailand bermula Khamis.

Perkara ini menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong tanah air negara mengenai punca Fayadh masih gagal menawan hati ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon.

Barisan pemain Harimau Malaya pilihan Pan-gon. Facebook/FAM

Menurut seorang penyokong bola sepak Kedah iaitu Azlee Harun, Fayadh ketika ini masih lagi banyak perlu dipersiapkan sebelum muncul selaku salah seorang pemain kebangsaan.

Penyokong tersebut menyifatkan Fayadh sebagai seorang yang agak gopoh, namun sentiasa boleh diharap ketika dimasukkan pada separuh masa kedua.

"Pemain berketinggian 160 sentimeter itu juga perlu memperbaiki banyak lagi aspek lain terutama sekali dari segi teknikal untuk bermain secara ‘build up play’, kerana Fayadh lebih sesuai beraksi dalam situasi serangan balas dan agak ‘direct’.

"Namun, itu tidak bermakna Fayadh tidak berpeluang langsung untuk beraksi bersama skuad kebangsaan pada masa akan datang.

"Pada ketika ini terdapat lebih ramai pemain lebih berbakat mampu mengisi posisi tersebut berbanding Fayadh. Ini meliputi dari segi teknikal serta kesesuaian dalam corak permainan intensiti tinggi," katanya.

Dalam perkongsian sama, Azlee juga turut membuat statistik mengenai pemain tersebut bersama sedikit ulasan mengenai persembahan semasa Fayadh bersama pasukan Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram