KECEDERAAN yang dialami Fatin Shahida Azmi tidak menjadi penghalang untuknya menghadiahkan kemenangan kepada juara bertahan, Melaka United dalam aksi menentang Negeri Sembilan 1-0 pada aksi final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Ahad malam.
Pemain berusia 31 tahun berkata, dia tetap memberi 200 peratus komitmen di atas padang bagi memastikan kejuaraan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2022 terus menjadi milik Melaka United.
Kemenangan berkenaan mengulangi kejayaan Melaka United menjulang piala berkenaan pada edisi 2019.
"Untuk final ini, saya bertahan daripada kecederaan sehingga dapat menjaringkan gol. Ini luck buat saya kerana dalam kesakitan, saya masih dapat bantu team mengekalkan kejuaraan untuk kali kedua," katanya selepas perlawanan.
Tambah manis, penyertaan Fatin buat kali pertama dalam PTSR 2022 bagi tahun ini bukan sahaja memberikan kemenangan kepada pasukan, bahkan dia turut diangkat sebagai Most Valuable Player (MVP).
Melaka United mengulangi kejayaan menjulang PTSR pada edisi 2019. — Facebook/FAM
"Pada edisi 2019, saya tak dapat join. Jadi, saya tak letakkan sasaran pun untuk jadi pemain terbaik.
"Saya hanya gunakan pengalaman bermain bola padang untuk bantu team," ujarnya.
Mengulas mengenai kecederaan yang dialami sepanjang edisi berlangsung, Fatin memberitahu, dia terpaksa bermain walaupun sakit di pergelangan kaki, pangkal paha dan hamstring.
"Saya ambil inisiatif sendiri untuk membuat rawatan supaya saya dapat terus bermain hingga peringkat akhir," katanya.
Skuad Melaka United, kendalian S. Ganesan Pillay dikerah sehingga masa tambahan sebelum anak-anak buahnya berhasil mempertahankan kejuaraan PTSR dengan menumpaskan Negeri Sembilan 1-0.
Fatin menjaringkan gol pada minit ke-115 selepas kedua-dua pasukan terikat seri sepanjang 90 minit masa perlawanan.
Skuad Milah mencipta kejutan kerana berjaya mara hingga peringkat akhir pertandingan. — Facebook/FAM
Sementara itu, ketua pasukan NSW FC, Malini Nordin ternyata tidak dapat menyembunyikan kesedihan selepas perlu akur dengan kedudukan naib juara.
"Kami agak kecewa kerana padangan orang luar kata kami JDT versi wanita, tapi kami biasa sahaja. Kami tahu Melaka United memang team handalan.
"Kami dah cuba dan usaha tapi belum bernasib baik lagi untuk julang piala," katanya
Begitupun, dia berpuas hati dengan prestasi skuad Milah yang berjaya melangkah sejauh itu berbanding pencapaian mara hingga peringkat kumpulan sahaja sebelum ini.
Malah Malini yang berusia 37 tahun menyatakan komitmen untuk terus beraksi jika diberi peluang pada tahun-tahun mendatang.
Dia yang menjadikan pemain Sabah FC, Amri Yahyah, 41, sebagai idola memberitahu, faktor usia tidak pernah menjadi penghalang dalam bola sepak.
"Kalau diberi peluang, saya akan kerah keringat dan beri selagi yang terdaya hingga hujung nyawa kerana minat yang amat mendalam terhadap sukan bola sepak ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram