Ayah legenda bola sepak Soh Chin Ann, meninggal dunia


  • Podium
  • Ahad, 11 Sep 2022

Tee Tong (tengah) ketika menerima kunjungan dari pelawat di kediamannya di Jalan Kolam Air, Melaka Januari lalu. — Bernama

AYAH legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Ann, Soh Tee Tong, meninggal dunia akibat uzur di Hospital Alor Gajah, pada Ahad.

Chin Ann ketika dihubungi berkata, mendiang bapanya yang berusia 107 tahun mengadu tidak sihat sejak tiga hari lepas apabila tahap kesihatannya merosot kerana hilang selera makan.

"Kami adik-beradik kemudian membawa bapa ke hospital tersebut (Hospital Alor Gajah) tiga hari lepas dan mendiang disahkan meninggal dunia pada pukul 1 pagi tadi," katanya.

Beliau berkata, mendiang meninggalkan lapan anak iaitu lima lelaki dan tiga perempuan.

Katanya jasad mendiang bapanya akan dibawa ke kediamannya di Jalan Kolam, Alor Gajah dan majlis penghormatan terakhir akan dilaksanakan selama empat hari.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, ketika mengunjungi mendiang pada Januari lepas dilaporkan berkata Tee Tong merupakan individu tertua yang masih hidup di Alor Gajah ketika itu. —Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram