BERADA di tangga kesembilan dalam Liga Super, Melaka United (MU) kini semakin bergelut untuk meraih tiga mata.
Malah, Sang Kancil sudah bolos 12 gol dalam tiga perlawanan dan tidak menghasilkan satu pun jaringan.
MU tewas 0-4 dengan JDT dalam perlawanan Liga Super pada 29 Ogos lalu, dibelasah 0-5 dengan Terengganu FC pada 3 September dan terbaharu, tewas 0-3 dengan Kedah Darul Aman FC pada 9 September lalu.
Ternyata keputusan itu amat perit untuk ditelan penyokong setia skuad kendalian Mohd Asri Ninggal.
Poster solidariti untuk pemain yang MU yang tidak dibayar gaji selama tiga bulan. — Facebook/PFAM
Ramai yang berpendapat keputusan mengecewakan itu ekoran masalah gaji pemain MU yang sudah tidak dibayar tiga bulan seperti yang disahkan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).
Ekoran itu juga, penyokong MU nampaknya seakan sudah tawar hati untuk menyokong Sang Kancil dan menganggap tindakan untuk menarik sokongan sebagai satu cara untuk menegur pengurusan pasukan.
Seorang penyokong MU, Rahmat Harris meminta supaya penyokong tidak turun dalam perlawanan melibatkan pasukan itu selepas ini.
"Selepas ini bila ada perlawanan di tempat sendiri atau lawan, penyokong MU tak perlulah turun kerana keputusan perlawanan sudah dapat dijangka.
"Biarlah MU tanggung sendiri dan janganlah maki pemain kerana mereka bermain untuk mencari rezeki sesuap nasi," katanya.
Kesebelasan utama MU yang masih beraksi walaupun tiga bulan tidak dibayar gaji. — Facebook/Melaka United Football Club
Seorang lagi penyokong, Gobinathan Perumal berkata, pemain juga tidak seharusnya berselindung dengan masalah yang mereka hadapi sebelum ini.
"Jika pemain hadapi masalah, berterus teranglah. Tak perlu tunjuk di padang. Kami turun stadium kerana jiwa bola sepak dan jangan jadikan kami sebagai boneka," katanya.
Setakat ini belum ada sebarang keputusan rasmi daripada pengurusan MU berkaitan masalah gaji terhadap pemain mereka.
Berbaki lima lagi perlawanan yang perlu ditempuh MU dalam saingan Liga Super musim ini, agak sukar untuk menjangka keputusan positif yang boleh dihasilkan pemain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram