MELAKA United FC (MUFC) ketika ini kelihatan tidak bermaya untuk menamatkan musim 2022 berikutan prestasi yang cukup mengecewakan.
Aksi longlai dan prestasi kurang memberangsangkan itu berlaku berikutan masalah gaji yang melanda skuad Hang Tuah sejak tiga bulan lalu bermula Ogos.
Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan menerima laporan daripada 17 orang pemain MUFC pada 8 Ogos 2022 mengenai tunggakan gaji bagi bulan Jun dan Julai serta baki bayaran bagi bulan Januari 2022.
Perkara itu menyebabkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengeluarkan kenyataan dengan mengarahkan pihak pengurusan menyelesaikan isu itu supaya ia tidak berlanjutan.
Pemain MUFC tetap persembahan yang terbaik sewaktu menentang Kuala Lumpur City meskipun mengalami tunggakan gaji. — Facebook MUFC
Dalam notis tersebut juga memaklumkan bahawa jika MUFC gagal berbuat demikian dalam tempoh masa yang diberikan, maka mereka berkemungkinan tidak akan dibenarkan menyertai pertandingan Piala Malaysia 2022 meskipun layak untuk bertanding.
Selain itu, skuad Hang Tuah juga berpotensi berdepan tindakan yang lebih berat sekiranya tunggakan gaji tidak diselesaikan sebelum 20 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam menegaskan bahawa skuad Hang Tuah akan disekat daripada merekut pemain-pemain baharu pada musim depan.
Oleh sebab itu, pihak pengurusan MUFC perlu menjelaskan isu gaji pemain sebelum tarikh yang ditetapkan.
“Sama seperti Perak awal tahun ini. Walaupun mereka mempunyai larangan perpindahan, mereka hanya perlu mendaftarkan pemain yang telah dikontrakkan kepada mereka.
“Pemain baharu yang mereka mahu daftarkan hanya didaftarkan semasa jendela pertengahan musim selepas mereka menyelesaikan kes Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya kepada Majoriti.
Perak FC sebelum ini berdepan isu kewangan sehingga menyaksikan mereka dikenakan pemotongan sembilan mata dalam Liga Perdana.
Antara aksi perlawanan sewaktu menentang KL City. — Facebook MUFC
Dalam masa sama, Stuart menjelaskan skuad Hang Tuah juga bakal dikenakan sekatan perpindahan dalam jendela akan datang seperti mana yang pernah dikenakan terhadap pasukan Liga Malaysia.
“Larangan FIFA tidak menghalang aktiviti bola sepak tetapi sebaliknya larangan perpindahan yang menyekat kelab daripada merekrut pemain baharu. Itu pada asasnya memaksa pasukan untuk menjelaskan yurannya dan mendaftarkan pemain baharu.
“Mengenai Melaka, kami sedang meneliti perkara ini dan telah pun memulakan tindakan kami terhadap mereka.
“Kami berharap untuk mengetahui lebih lanjut minggu depan dan akan mengemas kini lebih lanjut kemudian,” jelasnya.
Mengulas sama ada Melakau United akan senasib seperti Perlis FA yang terkubur akibat larangan FIFA, Stuart berkata, situasi itu ada perbezaannya.
"Perlis FA dilarang untuk mendaftar mana-mana pemain baharu, menyebabkan mereka tidak mampu untuk bersaing," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram