SELEPAS nama jurulatih berpengalaman, Lim Teong Kim dilantik sebagai pengendali baharu Perak FC, tumpuan peminat bola sepak tanah air terarah kepada skuad Seladang yang pernah dihimpit masalah kewangan pada awal musim ini.
Perak FC dilihat tidak kisah berbelanja besar dengan membawa bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu bagi menjayakan projek transformasi pasukan yang kini di bawah pengurusan XOX Berhad (XOX) melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd sejak Mei lepas.
Pelantikan Teong Kim semestinya bakal menarik minat pemain-pemain bintang untuk menyertai The Bos Gaurus, lebih-lebih lagi skuad berkenaan dilihat berkemampuan dari segi kewangan untuk menandatangani mereka.
Sergio Aguero yang baharu dinaturalisasi mungkin akan menyertai Perak FC. — Facebook
Malah satu senarai mengandungi nama 12 pemain termasuk beberapa bintang kelab gergasi Liga Super yang akan ke Perak FC 'bocor' hingga menjadi bualan ramai.
Antara yang menjadi perhatian ialah tiga pemain JDT ketika ini ialah Ahmad Hazwan Bakri selain Syazwan Andik dan Fadhli Shas yang kini dipinjamkan ke Melaka United FC.
Tidak ketinggalan nama penjaga gawang Harimau Selatan iaitu Izham Tarmizi. Berdasarkan transfermarkt.com, kontrak semua pemain JDT itu akan tamat pada hujung musim ini.
Luqman Hakim yang kini beraksi di KV Kortrijk antara nama yang dikhabarkan ke Perak FC pada musim depan.
Selain tiga nama itu, nama Brendan Gan dan Shahrel Fikri masing-masing dari Selangor FC turut tercatat dalam 'senarai bocor' berkenaan.
Di samping itu, dua watak penting yang membantu KL City mencipta kejuaraan dalam aksi final Zon Asean dan separuh akhir Antara Zon Piala AFC 2022 Antara Zon iaitu Kenny Palraj dan J Partiban juga dimasukkan dalam senarai tersebut.
Pemain naturalisasi baharu, Sergio Aguero dari Roja, Argentina yang kini berkhidmat dengan Sri Pahang FC juga dikhabarkan dalam buruan Perak FC.
Pemain import dari Turki, Yusuf Yazici tersenarai dalam pasukan Teong Kim. — Agensi
Teong Kim yang berpengalaman luas melatih pemain muda juga mungkin akan mengambil Luqman Hakim yang kini beraksi di KV Kortrijk memandangkan ubi muda itu antara bintang yang dibentuknya sebelum ini.
Selain itu, turut tersenarai ialah nama seorang pemain import dari Turki, Yusuf Yazici yang kini dipinjamkan ke kelab Perancis LOSC Lille dari Trabzonspor.
Satu lagi nama ialah Ahmad Sholehin Ahmad Rashid yang ditulis sebagai pemain bebas (free agent), namun carian mengenai pemilik nama itu tidak membuahkan hasil.
Terdahulu, 'senarai' itu dikongsikan secara rawak di group WhatsApp dan Telegram penyokong Perak FC namun, tidak dapat disahkan kesahihannya.
Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin di Facebook turut menafikan wujudnya senarai tersebut.
Apapun, sama-sama kita nantikan line-up pemain Perak FC yang pastinya ada suntikan segar di bawah kendalian Teong Kim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram