King's Cup: Bojan Hodak enggan lepaskan Zhafri Yahya, Declan Lambert sarung jersi Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 13 Sep 2022

KL City enggan melepaskan Zhafri Yahya (kiri) dan Declan Lambert bersama Harimau Malaya kerana masih perlu beraksi di pentas Piala AFC. — Facebook/Kuala Lumpur City

PENGUMUMAN skuad kebangsaan bagi menghadapi persaingan Piala Raja Thailand (King's Cup) bermula 22 September menampilkan barisan pemain daripada Liga Super.

Meskipun pertandingan itu seakan-akan perlawanan persahabatan, ketua jurulatih, Kim Pan-gon (KPG) pasti mahu menggunakan peluang keemasan itu untuk melihat kemampuan dan keserasian pasukan kebangsaan.

Perkara itu dibuat bagi membolehkan skuad kebangsaan beraksi dengan cemerlang dalam saingan Piala AFF 2022 Disember depan dan kemudiannya bersedia untuk Piala Asia 2023.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya beberapa pemain yang kurang mendapat perhatian sebelum ini dipanggil pengendali kelahiran Korea Selatan itu untuk menyertai kem latihan yang bermula pada Jumaat ini.

Antara nama yang dipanggil ialah duo KL City FC, Zhafri Yahya dan Declan Lambert yang masing-masing belum berpeluang untuk bermain untuk Harimau Malaya.

Kedua-dua pemain itu dilihat sebagai tonggak utama skuad Warga Kota apabila mereka meneruskan kemaraan ke pentas akhir interzonal Piala AFC dan mengekalkan kedudukan di carta Liga Super.

299727732_5533875769988865_9163989238119632993_n

Bojan Hodak perlu membuat keputusan tepat bagi menentukan nasib duo KL City FC itu. Facebook/Kuala Lumpur City FC

Namun, melihat kepada jadual mereka yang sibuk musim ini, beberapa perlawanan liga KL City FC telah ditangguhkan untuk memberi ruang kepada saingan di pentas Asia.

Ini menyebabkan pasukan kendalian Bojan Hodak itu terpaksa beraksi ketika pertandingan Piala Raja Thailand, sekali gus menyukarkan kedua-dua pemain yang dipanggil itu untuk menyertai kem latihan Harimau Malaya.

Bagi ketua jurulatih kelahiran Croatia itu, dia terpaksa mengambil langkah untuk menyekat hasrat Zhafri dan Lambert untuk beraksi dalam skuad kebangsaan kali ini.

"Saya gembira dengan kejayaan kedua-dua pemain itu yang dipanggil bagi mewakili skuad kebangsaan dan bagi kami, pasukan kebangsaan adalah keutamaan pemain.

"Tetapi, pihak pengurusan akan memohon agar pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengecualikan mereka kerana skuad Harimau Malaya hanya akan beraksi dalam pertandingan secara persahabatan," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, meskipun skuad kendalian KPG berjaya muncul sebagai juara, ia tidak akan memberi impak yang besar apabila pertandingan itu tidak akan diberikan mata kedudukan oleh FIFA.

"Bagi KL City FC pula, kami akan bermain dalam dua perlawanan liga sementara bersiap sedia bagi menghadapi perlawanan akhir interzonal Piala AFC," katanya.

Bojan turut menegaskan, sumbangan daripada Piala AFC adalah lebih besar apabila prestasi KL City mampu meningkatkan lagi kedudukan Liga Malaysia di antara wakil AFC musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram