KEADAAN padang yang becak dan menentang pasukan lawan yang berpengalaman menyebabkan pasukan tuan rumah Sri Pahang FC terpaksa akur dan tewas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC 0-2, dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, pada Ahad.
Ketua Jurulatih Interim Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh juga menyifatkan, kekalahan pasukannya juga disebabkan kurang momentum pemain, selepas tiga minggu tanpa bermain sebarang perlawanan.
"Pemain kita agak sukar sesuaikan diri bermain di atas padang becak.
"Apatah lagi bertemu pasukan seperti KL City FC yang beraksi di Piala Konfederasi Bolasepak Asia, menyebabkan segalanya seperti tidak menjadi,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Pada perlawanan itu pemain muda KL City, Haqimi Azim Rosli membuka jaringan gol pada minit ke-30, sebelum Zhafri Yahya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72.
Berdasarkan prestasi Tok Gajah, Dollah mengakui beliau perlu segera mencari ramuan untuk membangkitkan kembali rentak kemenangan anak buahnya, terutama ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Sementara itu, ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak berkata, misi mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan bagi membaiki kedudukan di carta liga, menjadikan pasukannya bermain sebaiknya walaupun terpaksa mengubah strategi akibat keadaan padang.
"Kami sedar perlawanan ini amat penting...walaupun dalam keadaan sedikit penat selepas perlawanan separuh akhir Piala AFC, kami cuba fokus untuk menang.
"Keadaan padang tidak begitu baik akibat hujan, tetapi kami tukar beberapa strategi untuk sesuaikan dengan permainanan lawan, dan strategi itu menjadi,” katanya.
Beliau berkata, antara pendekatan diambil ialah lebih banyak melakukan hantaran tinggi ke arah kawasan lawan, berbanding hantaran pendek yang mudah tersekat kerana air.
Selain itu, beliau juga memuji Haqimi Azim yang disifatkan mempamerkan persembahan yang baik sepanjang perlawanan, dengan menggunakan ruang dan kelajuan untuk mencipta gol pertama sekali gus menaikkan semangat pasukan untuk terus mencipta gol seterusnya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram