Diiktiraf perlawanan kelas A, ini 5 sebab Pesta Bola Merdeka patut dihidupkan semula


  • Podium
  • Selasa, 20 Sep 2022

HARIMAU Muda menjadi juara Pesta Bola Merdeka pada 2013. — Facebook

KEJOHANAN bola sepak jemputan terbesar di rantau ini anjuran Thailand, Piala Raja Thailand 2022 (King's Cup) kembali selepas dua tahun tidak dianjurkan ekoran Covid-19.

Perlawanan empat penjuru antara Malaysia, Thailand, Trinidad & Tobago serta Tajikistan itu kini menjadi tumpuan pengikut bola sepak negara.

Untuk rekod, Harimau Malaya pernah muncul juara sebanyak 10 kali sejak kejohanan itu diadakan bermul 1957.

Setelah sekian lama tidak beraksi di kejohanan itu, jemputan ini dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap peningkatan mendadak bola sepak negara sejak kebelakangan ini.

306847991_783717882701450_1581820141933650973_n

Harimau Malaya akan beraksi menentang Thailand dalam perlawanan sulung King's Cup. — Facebook/FAM

Melihat kepada momentum positif Harimau Malaya, seorang pengikut bola sepak tempatan, Aslam Rafif mencadangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengadakan semula Pesta Bola Merdeka dan menjemput negara dengan ranking 150 ke bawah.

Pesta Bola Merdeka merupakan kejohanan bola sepak tahunan yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.

Kejohanan ini diadakan setiap tahun sejak 1957 dan merupakan kejohanan bola sepak jemputan yang tertua di Asia.

Namun, sejak 1988 hingga 2013, ia hanya dilangsungkan sebanyak sembilan kali sahaja.

Perlawanan dalam Pesta Bola Merdeka juga diiktiraf sebagai Perlawanan Kelas "A" (Perlawanan Persahabatan) oleh FIFA.

WhatsApp Image 2022-09-19 at 9.43.25 PM

Skuad Harimau Muda menjadi juara terakhir Pesta Bola Merdeka pada 2013.

Berikut adalah lima sebab mengapa FAM perlu mempertimbangkan semula penganjuran Pesta Bola Merdeka.

1. Jimat kos

Menyertai kejohanan jemputan yang dianjurkan negara luar memerlukan kos agak tinggi buat skuad negara termasuk melibatkan pengangkutan dan sebagainya.

Jika negara menjadi tuan rumah, bukan sahaja kos dapat dikurangkan, tetapi kelebihan juga dapat kepada negara selaku tuan rumah.

Daripada segi kos penginapan dan pengangkutan pasukan jemputan, FAM mungkin boleh bekerjasama dengan mana-mana syarikat untuk mendapatkan penajaan.

2. Tingkatkan kos pelancongan

Dalam setiap pasukan bola sepak dunia, pasti akan ada penyokong tegar yang sanggup hadir ke mana-mana sahaja lokasi pasukan negara mereka beraksi.

Kehadiran penyokong pasukan jemputan ini tentunya akan meningkatkan sektor pelancongan negara.

Bukan ibu negara sahaja, negeri-negeri lain turut akan merasai tempias penganjuran Pesta Bola Merdeka menerusi kehadiran penyokong sebagai pelancong.

WhatsApp Image 2022-09-19 at 9.53.26 PM

Republik Czech antara pasukan yang pernah menyertai Pesta Bola Merdeka pada 1986. — Facebook

3. Penyokong boleh jumpa bintang dunia

Ada cadangan daripada penyokong yang mahukan pasukan di bawah ranking 150 dijemput menyertai Pesta Bola Merdeka.

Tetapi, sejarah Pesta Bola Merdeka sebelum ini pernah disertai gergasi bola sepak dunia antaranya Jepun, Korea Selatan, Argentina dan Brazil.

Tidak mustahil jika diadakan kembali, pasukan besar ini mungkin berminat untuk menyertai sekali gus memberi peluang kepada penyokong berjumpa dengan bintang bola sepak dunia.

4. Rancak ekonomi

Sama seperti sektor pelancongan, ekonomi negara juga boleh dirancakkan menerusi penganjuran Pesta Bola Merdeka.

Apatah lagi jika pasukan gergasi dunia yang hadir, pasti peminat mereka akan hadir sama sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Pasti peniaga kecil juga boleh merasakan kesan penganjuran kejohanan itu.

WhatsApp Image 2022-09-19 at 9.52.08 PM

Malaysia menjadi juara Pesta Bola Merdeka pada 1985. — Facebook

5. Tingkat ranking negara

Memandangkan Pesta Bola Merdeka merupakan diiktiraf sebagai perlawanan kelas 'A', maka keputusan yang diperoleh akan memberi kesan kepada ranking negara.

Pasti banyak negara yang akan menyatakan minat untuk menyertai kejohanan tersebut bagi mengutip mata menaikkan ranking pasukan mereka.

Sebagai tuan rumah, pastinya Harimau Malaya mempunyai kelebihan untuk mendapat keputusan yang positif dalam setiap perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram