Hampir 30,000 banduan direkrut berperang menentang Ukraine


  • Benua
  • Isnin, 19 Sep 2022

Lelaki yang dikenali sebagai ‘Chef Presiden Rusia’ menawarkan pengampunan jenayah sekiranya banduan berjaya bertahan dalam medan perang selama enam bulan. — Agensi

LEBIH 28,000 banduan termasuk pembunuh, perogol dan pelbagai penjenayah ekstrem didakwa direkrut oleh Rusia antara April hingga September untuk dikerah berperang menentang Ukraine.

Memetik laporan Daily Mail, lebih lima peratus daripada keseluruhan banduan lelaki di Rusia direkrut selepas negara berkenaan mengalami kekalahan terhadap tentera Ukraine di timur negara itu.

Dalam sebuah video yang dipercayai dirakam pada minggu lalu, lelaki yang dikenali sebagai ‘Chef Presiden Rusia’ menawarkan pengampunan sekiranya banduan berjaya bertahan dalam medan perang selama enam bulan.

Kebanyakan mereka akan diberi latihan asas sebelum dihantar ke barisan hadapan di Donbas atau wilayah lain di Ukraine.

Tambahan lagi, mereka dibekalkan dengan satu bom tangan untuk menyerang tentera Ukraine dan satu untuk diri mereka sendiri sekiranya ditangkap musuh.

Bagaimanapun, amaran keras diberikan kepada mana-mana banduan yang melarikan diri dari medan perang dan akan ditembak mati sebagai hukuman.

Selain itu, pihak Rusia juga mengutamakan banduan yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun yang terlibat dalam jenayah bunuh, rompak dan kecederaan parah.

Jika mereka terkorban di dalam peperangan, mereka akan diisytihar sebagai wira dan ahli keluarga mereka akan menerima pampasan kira-kira RM375,000.

Sebahagian banduan yang tergoda dengan tawaran ‘gila’ tersebut akan dihantar ke kem tentera persendirian dan akan dipantau. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Rusia, Perang, Banduan, Ukraine,