'Mental kuat, hati kena kering', bekas jurutera kongsi ujian getir bisnes hampir lingkup


Firdaus berkata, dia mempunyai minat yang mendalam terhadap dunia perniagaan.

SESIAPA yang bergelar usahawan pasti tidak terlepas daripada diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan termasuk operasi perniagaan terpaksa gulung tikar.

Itulah antara situasi yang perlu dihadam Firdaus Razak ketika perniagaan restoran makanan Barat yang diusahakan bersama bekas rakan bisnesnya pada 2016 tidak menjadi.

Tidak berputus asa, lelaki yang berasal dari Perak dan membesar di Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu mengambil inisiatif bergerak solo dengan menubuhkan sendiri restoran FR Steak House di Senawang, Negeri Sembilan pada awal 2020.

Begitupun, dia sekali lagi diuji ketika pandemik Covid-19 melanda negara yang menyaksikan kedainya tidak dapat beroperasi selama kira-kira dua tahun kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ujian yang tidak putus-putus membuatkan bekas jurutera itu pernah mempersoalkan keputusannya berhenti kerja kerana keadaan perniagaan yang tidak menentu.

"Ketika itu, saya rasa nak mengalah sebab macam-macam halangan yang datang.

"Walaupun sewa kedai ketika itu sudah dipotong kepada RM4,000 daripada RM8,000, namun beban kewangan masih banyak kerana perlu menanggung kebajikan kira-kira 10 pekerja dari aspek makan minum serta tempat tinggal.

121567558_4854724474545428_6105635606302566958_n

Firdaus bergerak solo dengan menubuhkan sendiri restoran FR Steak House di Senawang, Negeri Sembilan pada awal 2020.

"Waktu itu, saya tak lepaskan pekerja kerana berpendapat nak hire dan train semula bukan senang. Nasib baik mereka memahami situasi itu dan sanggup bersama-sama saya," ceritanya kepada Majoriti.

Kata Firdaus yang berkhidmat dalam bidang kejuruteraan dari 2005 hingga 2016, walaupun kelonggaran diberikan kepada operasi perniagaan dengan membenarkan take-away, namun sambutan yang diterima daripada pelanggan kurang menggalakkan.

"Kuasa membeli ketika itu kurang kerana mungkin ramai yang masih takut-takut untuk berbelanja. Jualan menurun sehingga 80 peratus.

"Lagipun hidangan Barat ni feel nak nikmati makanan seperti stik tidak sama dengan makan di kedai. Rider nak hantar pun takut makanan tunggang terbalik," ujarnya yang memiliki Diploma Kejuruteraan dari Kolej Negeri, Negeri Sembilan.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, pengumuman yang membolehkan pergerakan rentas daerah dan negeri memberi kelegaan kerana perniagaan yang diusahakan berkembang semula.

"Kami menerima pelanggan dari luar Senawang, Rembau dan Kuala Pilah serta dari Lembah Klang," katanya sambil memberitahu, cawangan kedua FR Steak House telah dibuka di Cyberjaya, Selangor pada bulan lalu.

307329971_8377718068912700_7726608293037655255_n

Tambah Firdaus, dia mengetengahkan makanan Barat berasaskan kambing seperti lamb stew pada harga mampu milik.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam bidang perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), Firdaus berkata, ia didorong oleh minat mendalam terhadap dunia perniagaan.

"Saya pilih F&B sebab makanan menjadi keperluan semua orang. Perniagaan memberikan kepuasan walaupun saya sibuk dengan kerja.

"Dua tahun juga saya berniaga sambil bekerja sehingga ambil keputusan untuk memberi fokus kepada bidang perniagaan sepenuhnya," katanya.

Tambah Firdaus, dia mengetengahkan makanan Barat seperti lamb stew, lamb shank, lamb chop dan black pepper steak pada harga mampu milik supaya dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

"Resipi dapat daripada bekas rakan niaga dan saya kongsikan dengan cef," katanya yang mendapat sokongan daripada keluarga sepanjang menempuh cabaran itu.

Kongsi Firdaus, tiada jalan mudah dan singkat untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

"Yang penting mental kena kuat...hati kena kering. Apapun perniagaan kena ada simpanan untuk kecemasan kerana dalam berniaga ada naik turunnya," ujar Firdaus menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram