Baru timang cahaya mata sulung, Boris lebih bersemangat bersama Ngap Sayot


  • Podium
  • Isnin, 19 Sep 2022

Kehadiran Boris Kok dalam barisan pertahanan sedikit sebanyak memberi kelebihan buat Ngap Sayot. — Agensi

KEMELUT kewangan yang dihadapi beberapa pasukan Liga Malaysia musim ini jelas menjejaskan imej dan reputasi bola sepak tempatan meskipun terdapat pelbagai usaha untuk menaikkan lagi nama sukan itu.

Antara pasukan yang jelas berada dalam pergelutan itu ialah Sarawak United FC yang dikatakan tidak membayar gaji pemain buat beberapa bulan sehingga menjejaskan kebajikan mereka.

Bagaimanapun isu itu dikatakan sudah diselesaikan selepas campur tangan beberapa pihak yang tidak mahu perkara itu berlanjutan.

Walaupun ia sudah diselesaikan, episod buruk itu pastinya memberi kesan ke atas pemain yang tidak henti-henti menyumbang keringat di atas padang meskipun tidak menerima bayaran yang dijanjikan.

Antaranya, kapten pasukan, Boris Kok yang sebelum ini dikhabarkan berada di Perancis untuk menemani isterinya yang melahirkan anak tetapi berdepan masalah untuk kembali ke Kuching kerana isu bajet.

Bagaimanapun, dalam satu hantaran di media sosial peribadinya, pemain kebangsaan Kemboja itu mengatakan bahawa perbincangan telah diadakan di antaranya dan pihak pengurusan untuk membawanya pulang ke tanah air.

Baru-baru ini, pemain pertahanan itu melaporkan bahawa dia sudah pulang ke kem latihan Sarawak United FC selepas hampir tiga bulan terdampar di Eropah.

balachandran

Balachandran pasti tidak menunggu lama untuk menurunkan semula pemain kelahiran Kemboja itu. Stadium Astro

Dalam hantaran itu, dia turut mengirim mesej penghargaan kepada penyokong yang tidak henti-henti memberi sokongan dan bantuan bagi membolehkan kebajikan mereka di luar padang terjaga.

Perkara itu turut disahkan ketua jurulatih Ngap Sayot, S. Balachandran dengan mengatakan bahawa pemain berusia 31 tahun itu sudah bersama pasukan.

"Ya, dia sudah pulang. Tetapi, untuk mengatakan bahawa dia akan turun bersama pasukan ketika bertemu KL City FC, itu masih belum tahu lagi," katanya kepada Majoriti.

Anak-anak buah Balachandran selepas ini bakal bertemu pasukan di tangga kelima, Kuala Lumpur City FC di Stadium Cheras dalam perlawanan ke-19 mereka dalam saingan Liga Super.

Selain itu, pengendali itu turut berkata, Boris kelihatan bersemangat untuk beraksi bersama pasukan dalam menghadapi baki pertembungan liga selepas menerima cahaya mata.

"Sebelum ini, kita tahu yang dia sudah dapat anak pertama, jadi Boris nampak bersemangat untuk bermain bersama Sarawak United FC," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram