'You are not always right' — Pekan bidas penyokong minta Hassan Sazali letak jawatan


  • Podium
  • Isnin, 19 Sep 2022

Aksi skuad muda negara ketika berdepan Korea Selatan dalam saingan kelayakan Piala Asia B-20 di Mongolia pada Ahad — Facebook/ FAM

MALAYSIA gagal merebut slot pusingan akhir Piala Asia B-20 di Uzbekistan pada Mac 2023 ekoran kemenangan Mongolia 6-0 ke atas Sri Lanka pada perlawanan petang Ahad di Stadium MFF, Ulaanbatar, pada Ahad.

Kegagalan skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) cukup mengecewakan peminat bola sepak tanah air yang mengharapkan skuad kendalian Hassan Sazali Waras itu dapat membuahkan kejayaan.

Malah ada yang mendesak supaya dia meletak jawatan dan meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengisi tempat tersebut dengan jurulatih luar yang lebih layak.

Ada yang turut memberi pendapat supaya DNA kejurulatihan Korea Selatan yang dibawa Kim Pan-gon dalam skuad senior dapat diterap serta diselaraskan dalam kalangan pemain lebih muda.

"Netizen memang boleh memberikan pandangan atau mendesak Hassan Sazali letak jawatan tetapi sampai tahap itu saja.

"Ini perkara biasa yang berlaku dalam 'bisnes' bola sepak terutama apabila pasukan yang dikendalikan oleh seseorang jurulatih itu gagal dalam sesuatu misi yang ditugaskan," kata pemerhati bola sepak, Datuk Dr Pekan Ramli kepada Majoriti.

Beliau berkata, kuasa mutlak bagaimanapun bergantung kepada individu yang melantik jurulatih tersebut.

23122021_Dr_Pekan_Ramli_IPT_Facebook_pic

Pekan berkata, hanya FAM layak membuat keputusan sama ada seseorang jurulatih perlu atau tidak melepaskan jawatannya.

"Siapa yang bayar gajinya, yang menetapkan indeks pencapaian prestasinya, hanya pemiliknya yang mempunyai kuasa mutlak dan boleh berbuat demikian," jelas Pekan.

Justeru itu, beliau berkata, dalam kes Hassan Sazali, biarlah FAM sebagai pihak yang layak membuat keputusan sama ada jurulatih berkenaan perlu atau tidak melepaskan jawatannya.

"Apapun pandangan yang bernas, beretika serta berasas dan tidak dipengaruhi oleh emosi yang keterlaluan sudah pasti boleh membantu dan menjadi asas kepada pemililknya sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengekalkan atau meyingkirkan jurulatih tersebut.

"Dalam hal bola sepak ianya tidak sama seperti kalimat dalam bisnes - customers are always right, tetapi dalam bola sepak, you are not always right," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai corak permainan yang ditampilkan skuad Harimau Muda B-19, Pekan berkata, level aksi yang dipamerkan mereka sebenarnya sedikit terkebelakang daripada apa yang dipamerkan oleh pemain muda Korea.

Katanya, pemain Korea kelihatan sangat matang serta mempunyai kemampuan teknikal individu yang jauh lebih baik daripada pemain negara.

"Saya juga berasakan dengan corak permainan kita itu kalau bagi level di Asia Tenggara boleh dikira antara yang terbaik tetapi apabila tahap menentang kuasa Asia seperti Korea, tahap permainan perlu dipertingkatkan lagi.

"Pemain kita juga perlu lebih berdisiplin, mampu mengawal emosi dan mental, semangat kesukanan yang tinggi serta bermain dengan lebih bijaksana.

"Jika emosi dan mental mudah koyak, seorang pemain yang hebat sekalipun akan nampak kebodohannya yang terserlah," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram