'Hassan Sazali tidak efektif', penyokong kecewa sampai minta pertimbang letak jawatan


  • Podium
  • Ahad, 18 Sep 2022

Aksi skuad muda negara ketika berdepan Korea Selatan dalam saingan kelayakan Piala Asia B-20 di Mongolia pada Ahad — Facebook/ FAM

IMPIAN skuad bawah 19 tahun (B-19) negara untuk meraih slot automatik ke Piala Asia B-20 tahun depan lebur selepas tewas 2-6 kepada pasukan pilihan, Korea Selatan di Mongolia, pada Ahad.

Keputusan itu juga sekali gus menyaksikan Korea Selatan mengesahkan slot ke saingan itu di Uzbekistan tahun depan selaku juara Kumpulan E.

Malaysia yang sekadar berpuas hati sebagai naib juara kumpulan perlu menunggu keputusan kumpulan lain bagi mengetahui sama ada layak atau sebaliknya.

Nasib tidak menentu skuad Harimau Muda itu mendatangkan kekecewaan kepada penyokong bola sepak tanah air yang mengharapkan satu perubahan drastik perlu segera dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini termasuk meneliti semula barisan kejurulatihan skuad B-19 yang ketika ini dikemudi oleh Hassan Sazali Mohd Waras kerana tidak dapat menterjemahkan kejayaan buat pasukan negara.

"Hassan Sazali terpaksa terima hakikat dan situasi bahawa kuasa rakyat yang menyayangi bola sepak Malaysia di pelbagai peringkat sekarang ini.

"Melihat kepada kefungsian jurulatih yang membimbing, terpulang kepadanya untuk melepaskan jawatan atau tidak," kata Hairul Juhari di ruang komen laman Facebook Football Agent - Malaysia.

hassan-sazali-waras

Peminat bola sepak tanah air berpendapat Hassan Sazali gagal membuahkan kejayaan kepada pasukan negara. — Facebook

Laman Facebook itu turut berpendapat FAM perlu melantik jurulatih luar negara untuk menyelaraskan corak permainan dengan skuad utama negara, Harimau Malaya yang kini dibimbing oleh Kim Pan-gon.

"Skuad senior dah guna DNA Korea, sepatutnya seragamkanlah hingga ke skuad junior... barulah seimbang," kata Faizwan Faez.

Sementara itu, Md Azrie juga berpendapat, skuad Harimau Muda B-20 perlu mendapat sentuhan jurulatih dari luar yang berkaliber.

"Keputusan yang amat menyedihkan dan menyakitkan, namun terpaksa kita telan jua. Dah banyak pelaburan dibuat tapi masih ditakuk lama.

"Secara individu, pemain B-20 ini amat berbakat tapi bermain secara kolektif, kita gagal sama sekali apabila bertemu pasukan-pasukan yang bermain corak pantas.

"Itulah pentingnya tugas seorang jurulatih untuk blend kemahiran individu yang hebat membentuk 11 pemain yang hebat secara berpasukan.

"Apapun terima kasih Hassan Sazali, jasamu turut dikenang namun anda tidak begitu efektif secara holistik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram