'Kenapa Mora kena sacked?' antara soalan panas yang mungkin terpaksa dijawab TMJ esok


  • Podium
  • Isnin, 19 Sep 2022

Benjamin telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan. — Facebook/ Johorsoutherntigers

MISTERI di sebalik tindakan Kelab Johor Darul Takzim (JDT) menamatkan kontrak bekas ketua jurulatih, Benjamin Mora masih lagi menjadi tanda tanya buat penyokong Harimau Selatan.

Mana tidaknya, khidmat pengendali dari Mexico itu ditamatkan ketika pasukan tersebut bukan sahaja berada di puncak, malah mereka sedang dalam misi mencipta sejarah di Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022.

Kesannya, pasukan JDT kelihatan seperti hilang arah apabila dimalukan pasukan Jepun, Urawa Red Diamonds dengan 0-5 pada saingan ACL di Stadium Saitama 2002, Jepun pada 20 Ogos lalu.

Skuad Harimau Selatan juga dikatakan sudah hilang taring semenjak berada di bawah kendalian jurulatih baharu dari Venezuela, Hector Bidoglio apabila tidak lagi mudah berpesta gol seperti mana di era Benjamin Mora.

Alasan diberikan kelab pada ketika pengumunan penamatan ketua jurulatih JDT sejak 2017 itu adalah masalah peribadi, namun penyokong masih lagi tidak puas hati.

Justeru, para penyokong mahu menggunakan kesempatan pada sesi temu peminat bersama pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa untuk menjawab isu tersebut.

Menerusi media sosial, penyokong JDT, Izzat Razali bertanya: "Kenapa Mora kena sacked (dipecat)? Taktikal Hector tak nampak laju dan nampak tidak bersemangat untuk mendapatkan bola."

Iron Heart juga menambah: "Nak tanya satu sahaja. Apa sebenarnya terjadi pada Mora. Lama dah tunggu sesi soal jawab ini."

"Siapa boleh sampaikan pertanyaan aku ni. Kenapa Mora keluar dari JDT pada saat akhir macam itu sahaja? Padahal ACL beberapa hari sahaja lagi," kata Mohd Azli Ali.

Selain daripada isu pemecatan Mora, ekor Harimau Selatan juga tidak sabar untuk mengetahui status kontrak pemain-pemain mereka yang dilaporkan sudah menghampiri tarikh tamat tempoh.

"Bergson sambung kontrak dengan JDT?" merupakan satu daripada lima soalan diaju Fazlan Iskandar.

Sadam Raya menyambung: "Perancangan kuad JDT untuk musim depan, adakah releven pemain-pemain yang makin berusia sedikit nampak penurunan prestasi hanya memanaskan bangku simpanan di sambung kontrak atau bakal dilepaskan?"

Menurut tinjauan Majoriti, beberapa soalan hangat lain termasuklah mengenai status bintang sensasi, Dion Cools bersama JDT serta cadangan menghantar pemain 'mendonia', Arif Aiman Hanafi ke luar negara.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram