PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa mencipta satu proses bagi memastikan perkongsian ilmu di antara jurulatih luar dengan pakar teknikal dilakukan dari semasa ke semasa.
Ini termasuk menganjurkan simposium, program tindik (attachment) serta mewujudkan kumpulan pengkaji teknikal atau technical study group bagi menganalisis perlawanan antarabangsa membabitkan skuad negara.
Saranan ini dikemukakan oleh penganalisis sukan, Rizal Hashim, yang menganggap FAM harus segera membuka ruang kepada jurulatih muda seperti Nafuzi Zain, Tengku Hazman Raja Hassan, Shukor Adan dan Hairuddin Omar untuk masuk ke dalam sistem badan induk itu bagi menimba ilmu daripada kelompok jurulatih pasukan negara yang diketuai Kim Pan-gon.
Sambil memberi contoh bagaimana Datuk K. Rajagobal, B. Satiananthan, Datuk Ong Kim Swee dan Tan Cheng Hoe menghabiskan tempoh yang panjang berada dalam sistem FAM sebelum dilantik mengendalikan pasukan negara, Rizal berkata, kehadiran Pan-gon yang berjaya mewujudkan persekitaran prestasi tinggi dalam pasukan kebangsaan harus dipergunakan sepenuhnya.
Kim Swee antara jurulatih yang menghabiskan tempoh yang panjang berada dalam sistem FAM sebelum dilantik mengendalikan pasukan negara. — The Star
Mengulas lanjut saranan yang dikemukakan dalam kolum mingguannya dalam akhbar The Star pada Jumaat lalu, Rizal berpendapat FAM harus mencari ruang supaya jurulatih muda tempatan boleh belajar cara Pan-gon mengurus modal insan, susunan taktikal, persiapan yang rapi dan kaedah menyuntik motivasi kepada pemain serta etika kerja yang tinggi.
Pada masa sama, Rizal menggariskan beberapa langkah yang boleh diambil oleh FAM bersama pemegang taruh lain dalam memastikan perkongsian ilmu terkini bola sepak boleh diwujudkan.
“FAM boleh bekerjasama dengan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) untuk mengadakan simposium dengan Pan-gon sebagai tetamu kehormat yang boleh membentangkan perancangan atau mengulas prestasi pasukannya sepanjang kempen kelayakan Piala Asia AFC Jun lalu,” katanya kepada Majoriti.
Selain itu, kelompok jurulatih tempatan sedia ada boleh dikenal pasti untuk membentuk kumpulan penyelidik teknikal atau technical study group bagi menganalisis semua perlawanan membabitkan Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan mahupun kejohanan utama.
Rizal berpendapat FAM harus mencari ruang supaya jurulatih muda tempatan boleh belajar cara Pan-gon mengurus pasukan. — Stadium Astro
“Proses pembelajaran ini harus sentiasa dilakukan sekalipun ada jurulatih tempatan yang terikat dengan tugasan di kelab masing-masing,” ujarnya.
Jurulatih muda juga, katanya, wajar diberi peluang untuk melihat dengan mata sendiri kaedah Pan-gon mengerah panel kejurulatihannya untuk melakukan kerja rumah bagi merancang persiapan rapi serta membuat laporan terperinci dari sudut dosier pemain serta susunan taktikal menerusi program tindik.
“Program tindik ini tidak perlu tempoh yang panjang tetapi memadai jika jurulatih diberi peluang melihat cara kerja di pejabat serta di padang latihan untuk beberapa hari. Ini adalah satu pelaburan terhadap modal insan demi kepentingan bola sepak dalam jangka masa panjang,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram