The Reds bakal kalah lagi? Ten Hag ajar cara kalahkan Liverpool


  • Podium
  • Selasa, 13 Sep 2022

Alfred Schreuder percaya akan kemampuan pasukannya meskipun memahami cabaran yang bakal dibawa Klopp. — Agensi

PERTEMBUNGAN Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada Rabu pagi bakal menyaksikan juara enam kali, Liverpool menerima kunjungan gergasi Eredivise, Ajax di Anfield.

Selepas memulakan kempen dengan memalukan di tangan Napoli, pengendali The Reds, Jurgen Klopp, pasti mahu anak-anak buahnya beraksi dengan lebih cemerlang kali ini.

Namun, bagi ketua jurulatih Ajax, Alfred Schreuder, mereka pasti berhasrat untuk mengulangi kejayaan bekas pengendali, Erik Ten Hag yang berjaya menewaskan Liverpool bersama Manchester United.

Kemenangan 2-1 yang dicatatkan membantu Ten Hag mendapatkan rentak dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mereka mula mencatatkan keputusan cemerlang dengan empat kemenangan berturut-turut.

Jurgen-Klopp-Erik-ten-Hag

Klopp (kiri) tewas dalam saingan EPL ketika bertemu Ten Hag. Agensi

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Schreuder akan meminta sedikit perkongsian dan nasihat daripada pengurus The Red Devils dalam usaha menambah derita kepadanya.

"Ada beberapa perkara penting dilakukan Man United dalam perlawanan itu yang juga sesuai dengan gaya permainan Ajax apabila para pemain perlu cemerlang ketika memegang bola.

"Selain itu, kami perlu bersikap berani dan yakin dengan bola kerana itu merupakan kunci ketika bertemu Liverpool. Sekiranya pemain mempunyai sikap-sikap itu, kami pasti ada peluang," katanya.

Tambah Schreuder, dia juga risau akan kebangkitan yang bakal dipamerkan anak-anak buah Klopp selepas tewas tempoh hari dengan jaringan 4-1 ketika berada di Naples, Itali.

"Saya juga menjangkakan Klopp akan menurunkan pemain dengan pendekatan yang lebih bertahan berbanding sebelum ini apabila mereka dibolosi sebanyak empat kali.

"Tetapi, saya juga percaya bahawa kami adalah pasukan yang bagus dan kami akan memberikan sepenuh keyakinan dan semangat dalam perlawanan itu," katanya.

Schreuder sebelum ini pernah berkhidmat bersama Ten Hag ketika menjadi pembantu jurulatih selama 18 bulan sebelum meninggalkan mereka untuk menyertai kelab Jerman, Hoffenheim pada 2019.

Pada kempen musim lepas, Liverpool berjaya mara ke pentas akhir sebelum tewas di tangan pemenang 14 kali, Real Madrid sementara Ajax hanya menempatkan diiri mereka dalam peringkat 16 pasukan terbaik selepas tewas di tangan Benfica. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram