DONNY van de Beek berikrar untuk meneruskan usaha untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Manchester United (Man U) selepas permulaan kempen yang mengecewakan.
Pemain berusia 25 tahun itu hanya mencatatkan 19 minit masa permainan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini dan tidak beraksi sejak kemenangan 2-1 Man U ke atas Liverpool bulan lepas sekembalinya dari Everton selepas dipinjamkan musim lepas.
Dalam perlawanan yang menyaksikan The Red Devils tewas kepada Brighton pada hari pembukaan, pemain kelahiran Belanda itu beraksi selama 12 minit sahaja sebelum diturunkan selama empat dan tiga minit ketika menentang Brentford dan Liverpool.
Lebih memburukkan keadaan, Van de Beek langsung tidak disenaraikan di bangku simpanan pada aksi yang menyaksikan Man U tewas kepada Real Sociedad dalam Liga Europa pada Khamis.
Van de Beek dilaporkan mengalami kecederaan ringan yang menghalangnya daripada diturunkan pada perlawanan menentang Arsenal dan perlawanan menentang Sociedad itu.
Tidak mahu terus hilang dari senarai kesebelasan utama Ten Hag, Van de Beek nekad untuk merebut persaingan bersama Christian Eriksen, Bruno Fernandes dan Scott McTominay yang dikatakan pemain tengah pilihan pada masa ini.
"Semua pemain mahu turun padang beraksi, tetapi seseorang pemain itu perlu membuktikan bahawa mereka layak untuk berada dalam XI pertama. Kelab seperti United memerlukan banyak pilihan dan memerlukan skuad besar untuk bermain dan mempunyai musim yang baik.
"Kadang-kadang saya bermain di '10', kadang-kadang di '8', kadang-kadang saya bermain di '6', jadi saya boleh bermain di posisi yang berbeza. Terdapat beberapa pertahanan yang hebat, khususnya, dari belakang ke hadapan.
"Saya benar-benar bekerja keras untuk jadi pemain yang fleksibel, jadi saya positif. Saya akan melakukan yang terbaik. Akhir musim lalu, saya diulit kecederaan dan perkara itu bersambung pada awal musim lalu. Kini, saya berasa lebih baik," katanya.
Van de Beek ketika beraksi untuk Man U menentang Brighton pada hari pembukaan. — Agensi
Pemain tengah tersebut pernah berada di skuad kendalian Ten Hag semasa di bawah kelab Ajax dan kedua-duanya membantu kelab itu ke separuh akhir Liga Juara-Juara yang menyaksikan mereka akhirnya tewas kepada Tottenham.
Semasa dibeli Man United pada 2020, dia sukar mendapat tempat di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Ragnick sebelum dipinjamkan ke Everton.
Dengan rekod Ten Hag mencatat empat kemenangan daripada tujuh perlawanan pembukaan kempen, Van de Beek menyokong jurulatih Belanda untuk membawa kembali kejayaan ke Old Trafford.
"Ten Hag merupakan aset untuk kelab. Dari segi cara kelab itu mahu bermain, Ten Hag memiliki kualiti yang diperlukan Man U mahukan sebagai pengurus.
"Saya sangat menantikannya. Kami mempunyai kejayaan besar di Ajax pada masa itu - separuh akhir Liga Juara-Juara, dan kami memenangi trofi. Jadi ia adalah masa yang istimewa.
"Kini kami di sini, dengan lembaran baharu dan cabaran baharu, sudah tentu kami mahu lakukan perkara yang sama di sini," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram