Man United mahu terus buru bintang pilihan Ten Hag


  • Podium
  • Ahad, 11 Sep 2022

Sepanjang musim panas lalu, Ten Hag berusaha mendapatkan De Jong dari Barcelona. — Agensi

SELEPAS permulaan yang perlahan, Manchester United akhirnya merasai jendela perpindahan musim panas yang produktif.

Barisan pemain terdiri daripada Tyrell Malacia, Lisandro Martinez, Christian Eriksen, Casemiro dan Antony semuanya tiba untuk melonjakkan kekuatan skuad kendalian Erik ten Hag.

Bagaimanapun, jurulatih dari Belanda itu tidak berjaya mendapatkan tiga tonggak pilihannya iaitu Sergino Dest, Frenkie de Jong dan Darwin Nunez.

Bukan lagi suatu rahsia kerana diketahui Ten Hag mahu mendapatkan De Jong dari Barcelona.

Man United sepanjang musim panas lalu berusaha keras mendapatkan perjanjian dengan De Jong, lebih-lebih lagi selepas mengambil kira hubungan Ten Hag dengan bekas pemain tengah Ajax tersebut.

Namun, selepas Man United tidak berjaya memancing pemain Belanda berusia 25 tahun itu daripada Nou Camp, mereka akhirnya memilih Casemiro.

Ten Hag juga tidak berpeluang membawa masuk Dest dari Barcelona, manakala Nunez berpindah ke Liverpool dari Benfica.

Mungkin masih ada tempat untuk De Jong dalam skuad Ten Hag kerana meskipun Casemiro dianggap pemain pemusnah, tetapi Christian Eriksen tidak mampu untuk bermain dalam semua perlawanan.

0_GettyImages-1422584142

Man United tidak berjaya memancing pemain Belanda berusia 25 tahun itu daripada Barcelona. — Agensi

Dalam skuad The Red Devils, Eriksen merupakan satu-satunya pemain yang mampu merancang rentak permainan daripada bahagian pertahanan di atas pengalaman dan tanggungjawab yang dipikulnya ketika berada di Tottenham Hotspurs dan Inter Milan.

Namun, Eriksen tidak boleh beraksi dalam setiap perlawanan apabila keadaan jantungnya masih tidak berada dalam keadaan baik sepenuhnya berikutan serangan jantung yang dihadapinya tahun lepas.

Kecederaan kepada Eriksen akan membuatkan kelab terpaksa menanggung kos yang tinggi lebih-lebih dalam musim yang panjang.

Jadi tidak mustahil, Man United mungkin akan terus mengintai dan memburu De Jong pada musim depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram