Nunez bawah par, Liverpool terdesak buru ‘Thierry Henry’


  • Podium
  • Selasa, 06 Sep 2022

Selain prestasi hambar, Nunez turut terpalit kontroversi kerana sikap panas barannya. — Agensi

LIVERPOOL dikaitkan dengan perpindahan penyerang Milan, Rafael Leão beberapa kali musim lalu.

Leão beraksi menentang Liverpool di Anfield dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan prestasinya sangat mengagumkan.

Dengan rentak dan langkah yang panjang di sayap kiri, pemain dari Portugal itu menyebabkan tonggak The Reds, Trent Alexander-Arnold berdepan masalah mengawalnya.

Pemain berusia 23 tahun itu juga beraksi cemerlang semasa Derby della Madonnina (derby Milan) dengan menjaringkan bukan satu gol tetapi dua jaringan.

Menariknya, dalam gol kedua yang dijaringkan, gerakan Leão seakan-akan gerakan legenda Arsenal, Thierry Henry dengan kemampuannya untuk menggelecek dari sayap kiri, melepasi pertahanan sekali gus merembat bola ke penjuru gawang.

Persembahan itu menyebabkan seorang wartawan Itali (melalui Football Italia) menulis jika Jack Grealish bernilai €117 juta (RM524.7 juta), maka Leão mungkin bernilai €400 juta (RM1.79 bilion). Klausa pelepasannya pula mungkin €150 juta (RM672.7 juta).

Bintang dalam pembikinan itu mungkin ada masanya membuat keputusan tergesa-gesa, tetapi potensinya sangat besar untuk digilap.

leao-hands

Leão memiliki potensi yang sangat besar untuk digilap. — Agensi

Liverpool.com melaporkan, Milan mahu mengikatnya dengan satu kontrak baharu jangka panjang.

Jurulatih Stefano Pioli berkata, kelab mahu menawarkan Leão perjanjian baharu tidak lama lagi.

"Mereka akan menjaganya. Dia bekerja pada tahap terbaik. Dia tidak mencetuskan sebarang masalah dan berusaha keras untuk menjadi seorang yang profesional," katanya.

Dilaporkan bahawa ejen Leão, Jorge Mendes, menuntut kira-kira €7.5 juta (RM33.64 juta) setiap musim untuk mengekalkan Leão di San Siro. Bagaimanapun, setakat ini, Milan menawarkan angka sekitar €6m (RM26.91 juta). Mungkin, kedua-dua pihak itu akan menemui titik persefahaman berhubung perkara tersebut.

Perjanjian semasa Leão tamat pada musim panas 2024, dan jika perjanjian tidak dicapai, maka Milan tiada pilihan melainkan melepaskannya pada musim panas akan datang.

Ketika inilah, Liverpool sepatutnya memantau keadaan untuk menyambar Leão sebagai alternatif serangan memandangkan prestasi semasa penyerang baharu, Darwin Nunez yang agak hambar sejak menyertai The Reds pada 1 Julai lalu.

Nunez juga terpalit kontroversi kerana sikap panas barannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram