SKUAD Kuala Lumpur (KL) City FC menyasarkan mengutip satu mata apabila bertandang ke Stadium Likas menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super pada Khamis.
Bahkan pengendali KL City, Bojan Hodak percaya misi itu bukan mustahil direalisasikan memandangkan motivasi para pemain berada pada tahap terbaik selepas melangkah ke separuh akhir Antara Zon Piala AFC sebelum ini.
Bagaimanapun Hodak tetap mengingatkan anak buahnya supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman The Rhinos yang turut akan dibantu sokongan padu daripada penyokong tuan rumah.
“Persiapan menentang Sabah FC ketika ini berjalan lancar. Atmosfera dalam pasukan ini sendiri sangat bagus selepas kejayaan melangkah ke separuh akhir Piala AFC.
“Jadi saya berharap pasukan tidak akan pulang kosong daripada perlawanan ini. Kalau boleh saya mahu mereka pulang sekurang-kurangnya dengan satu mata.
“Walaupun ia bukan satu tugas mudah menentang Sabah yang ketika ini di tangga kedua liga, namun saya harap mereka mampu memberikan aksi terbaik pada perlawanan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Hodak mengesahkan Romel Morales tidak diturunkan berdepan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tersebut kerana masih mengalami kecederaan.
Bagaimanapun perkembangan itu tidak membimbangkan Hodak memandangkan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan sebelum ini sudah kembali berlatih bersama skuad utama.
“Untuk perlawanan esok, Romel sudah pasti tidak akan diturunkan kerana dia mengalami kecederaan dalam perlawanan sebelum ini.
“Saya juga masih belum ada bayangan siapa yang akan diturunkan memandangkan terdapat beberapa pemain seperti Kenny Pallraj, Ahmad Fauzi dan Fakhrul Aiman masih dalam senarai kecederaan,” katanya. — Sukan Sinar
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram