Abu Kamara makin berbisa, bintang Kuching City kini dalam radar 3 kelab gergasi tanah air


  • Podium
  • Rabu, 07 Sep 2022

Abu Kamara berjaya memacu kebangkitan Kuching City FC dalam saingan Liga Perdana musim ini. — Facebook/Kuching City FC

KEHADIRAN seorang penyerang yang berbisa merupakan satu faktor utama dalam memastikan sesebuah pasukan mampu bersaing apabila kehadirannya mampu menjadi satu perbezaan ketara.

Selain perlu mempunyai ketajaman di hadapan pintu gol, penyerang juga perlu memastikan gerak-geri mereka licik bagi memastikan benteng pertahanan keliru sekaligus membuka peluang untuk menerjah gawang pihak lawan.

Kelajuan yang dimiliki juga mampu menjadi sebuah aset tambahan apabila ciri ini mampu dimanfaatkan ketika melakukan serangan balas, lebih-lebih lagi dalam masa yang cemas.

Oleh itu, kesemua kelebihan ini diperlukan dalam diri seorang penyerang berbisa bagi membolehkan pasukan yang lebih besar tertarik akan kemampuan dan sumbangan yang boleh ditawarkan.

Salah satu penyerang yang mempunyai kebolehan itu adalah penyerang Kuching City FC, Abu Kamara yang sudah meledak 11 gol dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Penyerang kelahiran Liberia itu menyertai di Kuching City dari kelab kecil Eropah pada jendela perpindahan musim lepas.

Catatan ini pastinya membuka mata pasukan-pasukan yang bakal berentap musim depan apabila sumbangannya di hadapan pintu gol boleh dimanfaatkan selain kemampuannya untuk dijadikan pemain simpanan.

Namun, dengan masa depan Liga Malaysia yang masih tidak menentu, masa depan Kamara jelas mengundang polemik ramai pihak terutamanya penyokong Kuching City.

Kuching City FC

Kamara mengharungi satu kempen yang cemerlang musim ini apabila dia telah menjaringkan hampir separuh daripada gol yang telah dijaringkan pasukan itu dalam saingan liga.

Kuching City FC juga menerima kelebihan dengan kehadiran pemain tersebut memacu kemaraan mereka untuk menduduki tempat ketiga dengan satu permainan sahaja berbaki.

Meskipun kedudukan itu berpunca daripada kemahiran ketua jurulatih, Irfan Bakti untuk mengatur gerakan, kemampuan Kamara sebagai penyerang membantu pasukan itu musim ini.

Gerak-geri dan kemampuan Kamara untuk berhubung bersama rakan sepasukan membantu meledak bakatnya dengan tidak perlu menunggu lama untuk membentuk keserasian.

Oleh itu, tiada sebab yang kelihatan jelas untuk Kamara meninggalkan pasukan yang berpangkalan di ibu negeri Sarawak itu demi mendapatkan majikan yang lebih baik.

273268875_373608591323912_9051760300108697885_n

Adakah Kamara akan terus setia bersama Kuching City FC sekiranya ada tawaran yang lumayan? — Facebook/Kuching City FC

Tidak cukup dengan itu, perubahan struktur liga musim depan juga seakan mengesahkan kedudukan Kuching City FC untuk bermain di Liga Super di samping pasukan yang lebih besar.

Namun, persoalannya, mampukah pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan Kuching City FC menepis segala tawaran apabila Kamara sudah cukup menyerlah dalam saingan Liga Perdana ini?

Selain itu, masa depan The Cats juga berada dalam kesamaran apabila terdapat perkhabaran bahawa pasukan tersebut bakal bergabung dengan Sarawak United FC musim depan.

Kamara juga pasti akan tertarik dengan prospek untuk bermain bersama pasukan lain yang lebih stabil serta membuka peluang untuknya beraksi di pentas Asia.

Kedah Darul Aman FC

Selepas satu musim yang bergolak, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pasti mahu meletakkan diri mereka semula untuk bersaing dalam merebut kegemilangan mereka semula.

Pemilikan baharu di bawah usahawan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar pasti menyuntik pasukan tersebut dari segi semangat mahupun kewangan yang amat penting dalam kemajuan sesebuah kelab.

Penyokong juga pasti mahu melihat Sang Kenari yang telah disingkir secara memalukan dari Piala AFC ini untuk menunjukkan kemajuan musim depan bagi melayakkan mereka ke saingan itu sekali lagi.

Oleh itu, pelaburan pasti dikehendaki untuk menambah baik barisan serangan yang tidak menunjukkan kesungguhan dan kemajuan seperti yang pernah dicatatkan sebelum ini.

Meskipun mereka mempunyai penyerang import berbisa, Ronald Ngah Wanja, kebanyakan daripada penyokong melihat dia sudah boleh diganti dengan memberi peluang kepada pemain yang lebih bertenaga dan muda.

Kedah Darul Aman FC (MAS) vs Visakha FC (CAM) during their AFC Cup 2022 Group G match at Capt. I Wayan Dipta Stadium on June 30, 2022 in Denpasar, Indonesia. Photo by Robertus Pudyanto Hari Pribadi / Power Sport Images for the AFC

Kamara disebut-sebut sebagai pengganti Ronald Ngah (gambar) musim depan Agensi

Kedua-dua ciri ini dimiliki Abu Kamara yang hanya berusia 25 tahun selain menunjukkan kemampuan yang tersendiri sehingga membantunya berada di carta teratas penjaring terbanyak Liga Perdana.

Tambahan pula, sekiranya pengendali, Aidil Sharin Sahak tidak berhasrat untuk melepaskan 'Pak Ngah', kemasukan Kamara memberikan peluang untuk Ronald Ngah yang berusia 30 tahun untuk direhatkan dengan lebih kerap.

Persoalannya, mampukah pemilik baharu itu memancing Kamara untuk menyertai mereka di Stadium Darul Aman apabila masa depan dan visi kelab masih tidak jelas ketika ini?

Sri Pahang FC

Di bawah sentuhan Datuk Dollah Salleh dan Fandi Ahmad, Sri Pahang FC kelihatan lebih stabil dan mampu menunjukkan belang selepas permulaan musim yang kurang memberangsangkan.

Kemasukan mereka pada pertengahan Julai sedikit sebanyak membantu kedudukan pasukan tersebut yang ketika ini kelihatan selesa berada di kedudukan keenam.

Mereka pasti mahu meletakkan sasaran yang lebih tinggi musim depan dalam usaha kembali ke saingan Piala AFC setelah kali terakhir layak ke kejuaraan itu pada 2015.

Fandi-Pahang

Kepulangan dua individu ini menjayakan semula Sri Pahang FC. Facebook/Sri Pahang FC

Selain itu, skuad Tok Gajah juga pasti bersungguh-sungguh untuk menambah trofi kejuaraan selepas gagal untuk meraih sebarang trofi sejak kejayaan mereka menjulang trofi Piala FA 2018.

Kehadiran Kamara dengan kebolehan untuk memperdayakan benteng pertahanan lawan mampu menjadi satu aset bermakna buat skuad Tok Gajah yang mahu bangkit daripada lena mereka sendiri.

Di samping itu, dengan perubahan struktur liga musim depan, penambahan pasukan pasti akan menyebabkan beban yang ditanggung barisan kejurulatihan untuk memikirkan pendekatan yang lebih sistematik.

Namun, adakah pihak pengurusan akan mencari penyerang baharu semasa jendela perpindahan selepas ini apabila mereka sudah mempunyai dua penyerang import berbisa, Manuel Hidalgo dan Andres Rodriguez.

Kamara juga pasti akan berfikir dua kali untuk ke Stadium Darul Makmur setelah kedua-dua penyerang ini berganding untuk menjaringkan 13 gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Perkara ini semestinya menyukarkan peluang untuk penyerang import ini untuk beraksi dalam kesebelasan utama sekaligus menumpulkan kemampuan serangan yang dimilikinya.

Kelantan FC

Kemaraan pasukan kendalian Rezal Zambery Yahya sukar untuk dibendung pasukan lawan dalam saingan Liga Perdana apabila mereka mudah mengatasi setiap cabaran.

Selain mencatatkan rekod pertahanan yang cemerlang, The Red Warriors juga mempunyai barisan serangan yang berbisa setelah berjaya menjaringkan 26 gol setakat ini.

Namun, mereka pasti tidak akan berpuas hati dengan catatan itu apabila saingan musim depan pasti lebih mencabar dengan kehadiran pasukan yang lebih berkualiti.

Meskipun jumlah jaringan itu berjaya meletakkan mereka di tangga kedua liga setakat ini, serangan yang lebih berkesan pasti didambakan penyokong bagi saingan musim depan.

272760295_6998695746867539_5045086157709205237_n

Masa depan Nixon Guylherme semakin terancam bersama skuad TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Oleh itu, pemilik kelab, Norizam Tukiman pasti akan bertindak segera untuk mencari penyerang yang mampu menambah kemampuan jentera serangan berdasarkan pendekatan taktikal di atas padang.

Kamara pastinya tidak asing dengan gaya permainan Kelantan FC apabila dia telah berjaya menjaringkan gol pada pertemuan mereka kali pertama musim ini di Stadium Negeri, Kuching.

Perkara ini pasti membuka mata Norizam yang sedang berusaha untuk meningkatkan lagi keupayaan pasukannya apabila telah meletakkan sasaran yang optimis buat mereka musim depan.

Selain itu, Kamara juga pasti akan terbuka untuk menyertai pasukan ini apabila masa depan penyerang import, Nixon Guylherme berada dalam tanda tanya selepas kurang minit permainan.

Ini pasti membuka peluang untuk penyerang Liberia itu untuk beraksi dengan lebih cemerlang dalam usaha memacu semula momen-momen kecemerlangan pasukan TRW. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram