Hanya satu persinggahan? 'Hints' TMJ buat penyokong tak senang duduk


  • Podium
  • Selasa, 13 Sep 2022

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools melengkapkan perpindahannya ke kelab Republik Czech, FK Jablonec. — Instagram/fkjablonec

PERPINDAHAN benteng pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools untuk menyertai kelab Republik Czech, FK Jablonec menutup pintu untuknya menyertai pasukan Liga Malaysia.

Cools sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke juara Piala FA 2022, Johor Darul Takzim (JDT) selepas FC Midtjylland menamatkan kontraknya pada Jumaat lalu.

Perkhabaran itu menyebabkan penonton bola sepak tanah air tidak senang duduk apabila kecemerlangan dan pengalaman pemain itu dilihat mampu membawa Harimau Selatan ke tahap yang lebih tinggi.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila kekecewaan disiarkan penyokong menerusi media sosial selepas FK Jablonec tidak menunggu lama untuk menyambar khidmat Cools.

Namun, pada Selasa, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris memberikan satu hantaran menerusi Instagram peribadinya yang menjadi seakan-akan satu bayangan kepada penyokong Harimau Selatan.

"Cools, semoga berseronok selama empat bulan di perhentian itu. Jumpa anda di Johor pada Januari," katanya ringkas.

WhatsApp Image 2022-09-13 at 14.09.49

Perkongsian daripada pemilik JDT yang seakan-akan memberi bayangan bahawa Cools akan menyertai JDT pada Januari. Instagram/hrhcrownprinceofjohor

Perkongsian itu bagaimanapun telah diturunkan tidak lama selepas itu yang pastinya menimbulkan lebih banyak tanda tanya daripada penyokong dan peminat bola sepak tanah air seluruhnya.

Perkara itu turut menguatkan spekulasi bahawa FK Jablonec hanya mengikat Cools dengan kontrak yang pendek sebelum membolehkannya berhijrah sekali lagi.

Selain itu, tempoh perpindahan Liga M masih belum dibuka sehingga penghujung Disember yang membolehkan setiap pasukan menambah pemain menerusi perpindahan dan ikatan kontrak.

Sebelum ini, JDT juga berjaya melengkapkan satu perpindahan berprofil tinggi apabila bekas pemain Swansea City FC, Jordi Amat menyertai mereka pada Julai lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram