CABARAN berat buat skuad Harimau Malaya apabila dijadualkan bertemu pasukan tuan rumah, Thailand dalam Kejohanan Piala Raja Thailand (King’s Cup) bermula 22 September nanti.
Kejohanan empat penjuru itu menyaksikan pasukan kebangsaan yang kini berada pada kedudukan ke-148 dunia akan bertemu dengan Thailand yang kini menduduki ranking ke-111 dunia.
Pada Isnin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan jadual rasmi perlawanan.
Aksi yang akan diadakan di Stadium Chiang Mai, Thailand itu menyaksikan satu lagi pertembungan melibatkan pasukan Trinidad & Tobago yang akan bertemu Tajikistan.
Sekiranya menewaskan Thailand, Harimau Malaya bertemu pemenang antara Trinidad & Tobago atau Tajikistan dalam kejohanan empat penjuru itu.
Sehingga kini, senarai nama pemain-pemain kesebelasan utama yang akan menggalas misi negara itu masih lagi belum diumumkan dan ini membuatkan penyokong bola tempatan menggunakan kesempatan tersebut untuk meramal kesebelasan utama.
Antara tiga nama pemain yang sering disebut-sebut penyokong bola tempatan adalah Brendan Gan (Selangor FC), Arif Aiman Hanafi (JDT) dan Akram Mahinan (KL City) ekoran prestasi cemerlang mereka bersama pasukan masing-masing pada ketika ini.
Ramalan kesebelasan utama Harimau Malaya mengikut formasi 4-2-3-1 pilihan peminat.
Bagi Abdul Pazeli, dia melihat benteng pertahanan memerlukan kehadiran pemain yang diminati, Dion Cools dan pertahanan Johor Darul Takzim (JDT), Daniel Ting serta Corbin Ong, disertai oleh Sam Summerville sebagai penjaga gol manakala Arif Aiman (JDT), Darren Lok (PJ City) dan Faisal Halim (Terengganu FC) sebagai penyerang.
Pemain tengah pula dibarisi Naxto Insa (JDT), Lee Tuck (Terengganu FC) dan Afiq Fazail (JDT).
Manakala bagi Rafael Badembard, posisi penyerang adalah harusi digalas Darren atau Syafiq Ahmad (JDT), pemain sayap kiri dan kanan adalah Faisal (Terengganu FC), Akhyar Rashid (JDT), Arif Aiman (JDT), Safawi Rasid (JDT).
Pemain tengah pula dibarisi oleh Azam Azih (Sri Pahang), Nazmi Faiz (JDT), Syameer Kutty Abba (JDT), Afiq Fazail (JDT), Dions Cool dan Brendan (SFC).
Seterusnya bahagian pertahanan pula perlu dibarisi Corbin Ong (JDT), Khuzaimi Piee (Negeri Sembilan FC), Sarul Saat (NSFC), Shahrul Nizam (NSFC), Shahrul Nazeem (SFC), Mat Davis (JDT) dan penjaga gawang pilihannya adalah Syihan Hazmi, Rahadiazlim Rahali dan Farizal Marlias (JDT).
Kejohanan King's Cup yang mula diadakan pada 1968 itu menyaksikan Thailand muncul selaku pemenang terbanyak piala berkenaan apabila merangkul kejuaraan sebanyak 15 kali. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram