TENGKU Mahkota Johor (TMJ) pernah mendedahkan bahawa pemain pertahanan negara, Dion Cools akan menyertai Johor Darul Takzim (JDT) bermula pada saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Pihak pengurusan JDT akan menandatangani pemain kelahiran Belgium-Malaysia itu selepas dia tamat kontrak bersama kelab Denmark, FC Midtjylland pada hujung tahun ini atau tahun hadapan.
Harga pasaran yang tinggi dimiliki oleh Cools menyebabkan pasukan JDT harus bersabar untuk membawa pemain tersebut ke bumi Johor secara percuma.
Sudah semestinya JDT tidak akan membayar amaun yang terlalu tinggi untuk mendapat khidmat Cools memandangkan mereka kini sudah mempunyai barisan pertahanan mantap dengan kehadiran pemain baharu berprofil tinggi iaitu Jordi Amat.
Cools melakukan debut bersama pasukan Harimau Malaya pada 2021 semasa bertemu UAE dalam kejohanan kelayakan Piala Dunia 2022. — Facebook FAM
Terbaharu Cools dijangka menyertai pasukan Harimau Selatan lebih awal lagi selepas dia dilaporkan tidak tersenarai dalam skuad FC Midtjylland yang akan ke Belanda untuk kem latihan pra-musim nanti.
Perkara ini disahkan sendiri oleh pihak kelab Denmark itu apabila seramai 30 pemain dibawa oleh pengendali pasukan, Bo Henriksen yang mana beliau membuat keputusan untuk tidak membawa pemain yang menjalani tempoh pinjaman bersama pasukan lain musim lalu seperti Dion Cools.
Selepas nama Cools tidak tersenarai ke kem pra-musim kelabnya, terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa pemain itu akan menyertai JDT lebih awal dari yang sepatutnya.
Sebelum ini, khabar angin di media sosial mengatakan kelab Liga Perdana Inggeris, Brentford bakal mendapatkan khidmat pemain itu pada jendela perpindahan musim panas kali ini ekoran kelab tersebut turut dimiliki oleh pemilik FC Midtjylland, Matthew Benham.
Karier awal pemain berusia 26 tahun di pentas Eropah bermula bersama akademi bola sepak Anderlecht dan OH Leuven.
Pernah dianggap sebagai antara pemain berbakat di Belgium, Cools adalah antara tunjang utama skuad muda antarabangsa Belgium, dan sempat melakukan 18 penampilan bersama pasukan B-21 negara itu.
Pada 2015 prestasi Cools menarik perhatian Club Brugge yang merekrutnya dari OH Leuven. Di sinilah karier profesional Cools di Eropah bermula.
Selepas menyerlah bersama Club Brugge di pertandingan elit Eropah seperti Liga Juara-Juara Eropah dan Liga UEFA, Cools dipinang kelab gergasi Denmark, FC Midtjylland pada Januari 2020.
Cools melakukan debut bersama pasukan Harimau Malaya pada 2021 semasa bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), dalam kejohanan kelayakan Piala Dunia 2022 di UAE. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram