Sekali lagi nafi abai kebajikan pemain, Sang Kenari nekad heret ke muka pengadilan


  • Podium
  • Sabtu, 10 Sep 2022

Prestasi yo-yo Kedah musim ini cukup membimbangkan peminat Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

BERIKUTAN isu tunggakan gaji yang semakin hangat diperkatakan, pihak Malaysia Football League (MFL) telah mengeluarkan amaran kepada pasukan-pasukan yang terlibat untuk menyelesaikan isu terbabit.

Dua pasukan yang diberikan notis tersebut adalah Melaka United FC (MUFC) dan Sarawak United FC (SUFC) yang dikatakan tidak menyelesaikan pembayaran gaji para pemain.

Perkara ini boleh menyebabkan pasukan Liga Super itu tidak dibenarkan untuk bertanding dalam saingan Piala Malaysia 2022 meskipun layak berdasarkan merit kedudukan.

Namun, ada juga beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang tidak berhati-hati dalam melaporkan masalah itu sehingga menyebabkan pasukan lain terpalit dengan isu itu.

Antaranya, satu hantaran di Facebook mengatakan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mempunyai isu tunggakan gaji yang menyebabkan mereka bakal berdepan nasib sama dengan MUFC dan SUFC.

306262141_502221758405846_26410034310559934_n

Kenyataan balas daripada pihak pengurusan KDA FC yang menafikan dakwaan tersebut. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Menyedari isu itu, pihak pengurusan Sang Kenari menerusi Facebook rasmi pada Sabtu segera bertindak menafikan perkara itu.

Katanya, penulis media sosial sepatutnya lebih cakna akan penulisan dengan menyemak segala fakta yang disertakan kerana ia boleh menjejaskan reputasi dan imej sesebuah pasukan.

"KDA FC menafikan hantaran status yang dikeluarkan oleh media sosial BOLA SEPAK KITA yang menyatakan KDA FC antara pasukan yang terpalit isu kelab yang gagal membuat bayaran gaji kepada pemain seperti kelab lain seperti yang dinyatakan dalam hantaran itu," katanya.

Tambah hantaran itu, kebajikan para pemain sering dititik beratkan oleh pihak pengurusan selain menafikan sebarang tuduhan yang dinyatakan dalam hantaran bertarikh 10 September itu.

Selain itu, pihak pengurusan juga menegaskan tindakan lanjut bakal dikenakan ke atas pemilik akaun tersebut sekiranya tiada percubaan untuk memadam hantaran tersebut.

"KDA FC menuntut agar hantaran tersebut dipadam dan satu permohonan maaf dikeluarkan dalam masa tujuh hari, kegagalan berbuat demikian pihak KDA FC akan meneruskan tindakan undang-undang ke atas pemilik akaun media sosial tersebut," katanya.

Ini bukan kali pertama KDA FC mengambil tindakan tegas apabila pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang membuat fitnah berhubung tunggakan gaji pada pertengahan Mei lepas.

Begitupun, pihak pengurusan KDA FC akhirnya menerima permohonan maaf individu terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram