MU berpotensi hilang slot Piala Malaysia, berita gembira buat Penang FC?


  • Podium
  • Jumaat, 09 Sep 2022

PFAM mengesahkan masalah gaji yang dihadapi oleh skuad Hang Tuah. — Facebook/ PFAM

MELAKA UNITED FC (MUFC) sinonim dengan masalah tunggakan gaji yang tidak berpenghujung apabila skuad Hang Tuah dilaporkan masih berdepan masalah yang berlanjutan sejak tiga bulan lepas.

Situasi tersebut disahkan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) pada Khamis, menjelaskan pihaknya menerima aduan pada 8 Ogos lalu daripada 17 pemain MUFC membabitkan pembayaran gaji bagi Jun dan Julai serta baki bayaran Januari lalu.

PFAM menerusi hantaran di Facebook rasminya mendedahkan bahawa jumlah tunggakan gaji mencecah tiga bulan kerana pemain turut tidak menerima pembayaran gaji bagi Ogos.

"Sehingga semalam (Rabu), jumlah tunggakan gaji telah mencecah 3 bulan kerana pemain turut tidak menerima pembayaran gaji bagi bulan Ogos. Pihak PFAM telah mengambil tindakan untuk menghantar notis kepada MUFC bagi menjelaskan tunggakan berkenaan dan perkara ini telah dibawa ke peringkat FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).

"Sehingga hari ini (Khamis), pihak PFAM masih menunggu agar satu tarikh ditetapkan oleh pihak FAM bagi membincangkan perkara ini di NDRC. Pihak PFAM juga menggesa agar penetapan tarikh perbicaraan di NDRC dipercepatkan agar proses pembelaan dapat dijalankan dengan segera.

"PFAM mengambil serius masalah tunggakan gaji yang dihadapi oleh para pemain dan akan membantu untuk membela hak pemain dari semasa ke semasa.

Skuad Penang FC kini memiliki peluang untuk menyertai Piala Malaysia sekiranya kemelut MUFC tidak diselesaikan sebelum tarikh ditetapkan. Facebook/ Penang FC

Pihak kelab dinasihatkan agar sentiasa menghormati obligasi yang telah dipersetujui di dalam kontrak agar dapat menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak," katanya.

Dalam satu perkembangan lain yang dimuat naik oleh wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam berkata, MUFC dilaporkan bakal kehilangan slot Piala Malaysia jika gagal selesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain pada tarikh akhir yang ditetapkan pada 20 September ini.

Jika isu ini tidak diselesaikan pada tarikh yang disebut, slot ke aksi Piala Malaysia itu bakal menjadi milik Penang FC yang kini berada di kedudukan ke-12 Liga Super.

Sebagai rekod, slot Piala Malaysia diberikan kepada 11 pasukan teratas Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Perdana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram