MASALAH gaji yang melanda Melaka United FC (MUFC), seolah-olah tiada kesudahan selepas Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan tunggakan gaji membabitkan skuad Kancil itu sudah mencecah tiga bulan.
PFAM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil serius masalah tunggakan gaji yang dihadapi pemain dan akan membantu untuk membela hak pemain dari semasa ke semasa.
"PFAM sudah mengambil tindakan untuk menghantar notis kepada MUFC bagi menjelaskan tunggakan berkenaan dan perkara ini sudah dibawa ke peringkat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Sehingga hari ini, pihak PFAM masih menunggu agar suatu tarikh ditetapkan oleh FAM bagi membincangkan perkara ini di Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC).
"PFAM juga menggesa agar penetapan tarikh perbicaraan di NDRC dipercepatkan agar proses pembelaan dapat dijalankan dengan segera.
"Pihak kelab dinasihatkan agar sentiasa menghormati obligasi yang sudah dipersetujui di dalam kontrak agar dapat menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak," kata persatuan itu.
Sebelum ini, PFAM sudah menerima laporan daripada 17 pemain MUFC mengenai isu tunggakan gaji yang sedang dihadapi mereka bagi bulan Jun dan Julai serta baki bayaran bagi Januari 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram