JOHOR DARUL TAKZIM (JDT) tidak akan sesekali beri muka kepada pasukan Terengganu FC pada perlawanan akhir Piala FA apabila berjanji bermain bermati-matian di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di ibu negara pada Sabtu.
Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio berkata, mereka akan bermain dengan intensiti tinggi dan akan mengawal perlawanan bagi memastikan trofi Piala FA itu boleh dibawa pulang ke Selatan.
Menurut Bidoglio, tiada percaturan berbeza yang bakal ditampilkan ketika bertemu dengan skuad penyu tersebut, sebaliknya mereka akan kekal dengan corak permainan sedia ada.
“Saya tahu pasukan ini sudah lama, jadi saya tahu cara nak menang adalah bermain dengan intensiti tinggi dan menguasai perlawanan. Walaupun saya baru sahaja mengambil alih pasukan, saya akan hormati apa yang dilakukan sebelum ini dan akan mengekalkan corak permainan saya untuk menang,” katanya pada sidang media perlawanan tersebut di Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Ketua jurulatih berusia 54 tahun tersebut juga enggan menjadikan memori hitam yang menyaksikan JDT tumbang di tangan KL City FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia meskipun tampil sebagai pasukan pilihan musim lalu menjadi penghalang untuk skuad Harimau Selatan beraksi dengan penuh keyakinan.
Tambahnya lagi, beliau tidak mahu terlalu fokus pada pihak lawan sebaliknya mahu fokus pada pasukan sendiri bagi memastikan mereka bermain dengan corak permainan mereka sendiri.
Dalam pada itu, Bidoglio turut memaklumkan bahawa kesemua pemainnya berada di tahap terbaik dan tiada pemain yang berdepan sebarang kecederaan.
Perlawanan keramat di SNBJ pada Sabtu dijangka akan menerima lebih 80,000 peminat yang akan membanjiri stadium. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
