KEADAAN padang yang basah menjadi penyebab Negeri Sembilan FC (NSFC) sukar mempamerkan aksi lebih baik meskipun mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Sarawak United FC (SUFC) pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat malam.
Ketua jurulatih NSFC, K. Devan berkata, faktor itu menyebabkan anak buahnya sukar menyudahkan beberapa percubaan ke gawang lawan.
"Pada separuh masa pertama, kita (NSFC) bermain dengan baik. Kita mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol dan saya melihat menjadi sukar dengan keadaan padang (basah), kalau dalam keadaan baik mungkin kita boleh menunjukkan satu permainan yang lebih cantik.
"Ia menyukarkan kita untuk mempamerkan permainan biasa kerana kita tidak boleh melakukan serangan pantas selain bola tersangkut pada lopak dengan keadaan air di padang," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Bagaimanapun, Devan tetap memuji kesungguhan tahap maksimum yang dipamerkan pemainnya selepas berjaya mengutip tiga mata berharga di laman sendiri.
Dia juga berkata, meskipun beberapa tonggak utama tidak beraksi termasuk Kuzaimie Piee, Saiful Ridzuwan Selamat dan Zambri Pin Ramli, ia tidak menjejaskan permainan kerana beberapa pemain gantian juga mempamer aksi cemerlang.
"Pemain-pemain yang menggantikan tiga tempat ini saya sangat puas hati dengan mereka," katanya.
NSFC kini di kedudukan ketiga liga dengan mengumpul 35 mata hasil 18 perlawanan sementara SUFC menduduki tangga kesebelas berikutan isu yang dihadapi di luar padang. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram