Jurulatih fikir kemudian, Felda United perlu fokus 2 perkara penting sebelum 'comeback', nasihat Jamal Nasir


  • Podium
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Pada 2020, Felda United mengumumkan penarikan diri daripada saingan Liga-M bermula musim 2021. — Facebook/FUFC

SELEPAS hampir dua tahun peminat bola sepak tidak mendengar nama Felda United FC (FUFC), kelab itu tiba-tiba kembali menjadi bualan setelah skuad The Fighters dikhabarkan bakal membuat kemunculan semula dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Terdahulu, pada 2020 Felda United mengumumkan penarikan diri daripada saingan Liga-M bermula musim 2021 dan berita itu mengejutkan ramai pihak terutama penyokong The Fighters.

Namun senyuman kembali terukir dalam kalangan penyokongnya berikutan khabar angin bahawa FUFC akan membuat kemunculan semula dalam saingan Liga-M pada musim depan.

Mengulas khabar angin berkenaan, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, FUFC perlu mempersiapkan dua perkara penting iaitu kewangan dan kesungguhan pengurusan sebelum memilih individu yang bakal mengendalikan pasukan itu.

Menurutnya, dua perkara itu yang perlu difikirkan oleh pengurusan The Fighters kerana jika ia tidak dititikberatkan oleh pengurusan, skrip tarik diri yang pernah menimpa kelab itu bakal berulang.

“Urus pasukan bukan mudah. Kewangan nombor satu, kedua kena ada kesungguhan. Orang nak uruskan pasukan itu kena ada minat kerana mereka ini yang akan mencari penaja dan sebagainya.

“Benda-bena itu perlu difikirkan dahulu sebelum nak ambik jurulatih. Felda pun pernah tarik diri. Benda ini FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kena tengok. Felda memang kuat, ada duit tapi kena tahu juga kemungkinan tarik diri tengah jalan.

“Jangan jadi macam pasukan lain seperti Sarawak United yang sudah empat bulan tak bayar gaji. Kasihan pemain.

“Felda ada duit tapi gunakan duit itu untuk wujudkan pasukan anak-anak Felda. Supaya duit itu kembali kepada peneroka,” katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-08-29 at 4.47.54 PM

FUFC juga berjaya mara ke separuh akhir saingan Piala Malaysia sebanyak empat kali. — Facebook FUFC

Dalam pada itu, bekas pemain Pahang itu juga memberikan pendapat bahawa pihak pengurusan FUFC seeloknya menggunakan jurulatih tempatan dan pemain yang dipilih perlulah dalam kalangan anak-anak Felda sendiri.

Katanya, peluang bermain bersama FUFC perlu diberikan kepada anak-anak Felda dan dari situ akan menunjukkan identiti tersendiri skuad The Fighters.

“Felda boleh pilih nak jurulatih mana tapi nak masuk pun bukan terus pergi Liga Super. Kena liga reserve atau M3. Kalau M3 banyak jurulatih. Nak cakap tak berani. Terpulang kepada pengurusan Felda United. Bekas jurulatih pun sesuai pun boleh atau nak ambil dalam akademi Felda.

“Felda ini besar. Jadi dari situ biar Felda pilih betul-betul anak Felda, baru boleh panggil Felda United. Beri mereka ruang nak tunjuk bakat. Kalau tak kita tidak nampak hidden talent, berlian yang tidak dicuci. Kembangkan bakat mereka,” ujarnya.

Antara jurulatih yang pernah mengemudi Felda United ialah K. Devan (2014), Irfan Bakti Abu Salim (2014-2016), B. Sathianathan (2017- 2018) dan Mohd Nidzam Jamil.

Sejak ditubuhkan pada 2007, Felda United mempunyai penyokongnya tersendiri dan dengan rekod cemerlang seperti menjuarai saingan Liga Perdana pada 2010 dan 2018 serta muncul naib juara Piala FA 2014, justeru The Fighters pasti menyerikan lagi Liga-M musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram