KEJAYAAN The Rhinos musim ini untuk menduduki tempat kedua membuka mata pelbagai pihak selepas mereka baru sahaja bermain di liga domestik teratas itu untuk dua musim.
Selepas mengakhiri saingan Liga Super tahun lepas di kedudukan kesembilan, sentuhan Datuk Ong Kim Swee jelas dirasai dalam usaha mereka mengejar slot ke pentas Asia.
Meskipun di sebalik kebijaksanaan beliau, persembahan dan kesungguhan yang ditunjukkan setiap pemain juga menjadi faktor utama bagi melonjakkan lagi kedudukan The Rhinos.
Kejayaan mereka untuk mendapatkan pemain berpengalaman seperti Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat pada jendela perpindahan jelas membuahkan hasil apabila mereka menjadi tulang belakang kepada pasukan itu.
Namun, di sebalik pemain-pemain bersinar itu, penyokong lebih memberi perhatian kepada anak kelahiran negeri itu yang menambah kestabilan dalam benteng pertahanan.
Rawilson sudah beraksi bersama Sabah FC selama lapan tahun. — Facebook/Rawilson Batuil
Kesetiaan yang dipamerkan Rawilson sememangnya tidak boleh dipersoalkan apabila dia terus setia bersama kelab itu walaupun ketika itu mereka masih berada bermain di Liga Perdana.
Kejituan pemain berusia 28 tahun itu musim ini sememangnya ditagih Sabah FC yang hanya dibolosi sebanyak 16 kali selepas 17 perlawanan yang telah mereka lalui.
Perkara tersebut pastinya menaikkan lagi namanya untuk diberi peluang bagi beraksi dalam skuad kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon untuk berdepan saingan Piala Raja Thailand dan Piala AFF Mitsubishi Electric pada penghujung tahun ini.
Penyokong The Rhinos juga semestinya bergembira sekiranya peluang diberikan kepada pemain itu apabila mereka percaya dia mempunyai kebolehan untuk memperkuatkan lagi benteng pertahanan Harimau Malaya.
"Dia ini memang hebat permainannya, seorang anak kelahiran Sabah, pasti sukar untuk pasukan lawan menembusinya sekiranya dia berada dalam barisan pertahanan," kata Jasde Sabo.
"Buat yang terbaik Rawilson dan saya harap, sekiranya ada peluang untuk bermain dalam skuad kebangsaan, saya harap anda gunakan peluang sebaiknya," kata Asron Pilim.
"Jika dia sertai Harimau Malaya untuk Piala Raja Thailand, pasti sukar untuk pemain Thailand menembusinya lebih-lebih lagi jika bergandingan bersama Dion Cools," kata Denol Alfonso.
Pasukan kendalian Pan-gon bakal sertai Piala Raja Thailand dalam usaha mencari kesebelasan terbaik bagi menghadapi kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang bakal diadakan pada Disember.
Selain skuad Harimau Malaya, pertandingan yang bakal diadakan di Stadium Chang Mai, Thailand itu juga disertai Tajikistan dan Trinidad and Tobago serta tuan rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram