Peminat desak Pan-gon beri peluang bintang Sabah FC sarung jersi Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Ketangkasan Rawilson menjadi benteng pertahanan Sabah FC ketika menentang pasukan lain patut diberi pujian. —Bernama

PERTAHANAN tengah skuad Sang Badak, Rawilson Batuil di antara pemain Sabah FC yang mempunyai prestasi yang semakin cemerlang pada musim ini.

Pemain berumur 28 tahun itu tampil beraksi 13 perlawanan berturut-turut dan memberikan persembahan yang semakin mantap.

Malah, ketangkasan Rawilson mengemudi benteng pertahanan Sabah FC ketika menentang pasukan lain patut diberi pujian. Dia juga dilihat agresif setiap kali diturunkan sekali gus memberi tekanan yang tinggi kepada pemain lawan.

Old hand: Rawilson Batuil (right) was instrumental in taking Sabah to the Premier League title last year.

Rawilson (kanan) dilihat agresif setiap kali diturunkan bermain sekali gus memberi tekanan yang tinggi kepada pemain lawan.

Percaya dengan prestasi yang dipamerkan oleh pemain berasal dari Kota Marudu, Sabah itu, peminat skuad Sang Badak berharap ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon turun padang pada perlawanan Sabah FC menentang Kuala Lumpur FC (KL City FC) dalam aksi Liga Super pada 1 September depan untuk menilai sendiri persembahan yang bakal dipamerkan Rawilson.

"Jangkaan aku untuk perlawanan antara Sabah FC menentang KL City FC.

"Aku harap pengendali skuad Harimau Malaya turun untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

"Aku minta untuk Kim Pan-gon lihat permainan Rawilson Batuil.

"Dari dulu aku menantikan Rawilson dapat call up dari Harimau Malaya. Prestasi Rawilson sekarang pun sangat membanggakan.

"Sewaktu Sabah menentang Johor Darul Takzim (JDT), kemasukkan Rawilson membuatkan Arif Aiman tidak mudah masuk kawasan pertahanan Sabah, " tulis Hazwan Aircond Man.

Rawilson sebelum ini pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Liga Premier Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi edisi Mei 2019.

Kehadiran Rawilson ke dalam skuad kebangsaan juga dilihat mampu memberikan pilihan kepada Kim Pan-gon untuk bersaing dalam pertandingan akan datang, khususnya pada temasya jemputan King's Cup pada September.

Pada temasya itu, skuad Harimau Malaya bakal menyertai siri Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Chiang Mai, Thailand dari 20 hingga 26 September 2022 bersama tiga pasukan lain iaitu tuan rumah Thailand, Tajikistan dan Trinidad & Tobago. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram