Sabah FC laung amaran awal, janjikan saingan hebat musim ini


  • Podium
  • Ahad, 02 Jan 2022

KIM Swee (kiri) berkata sesuatu kepada pemainnya pada sesi latihan baru-baru ini. — Facebook/Sabah Football Club

SABAH FC berjanji akan memberikan saingan sengit kepada semua pasukan gergasi dalam Liga Malaysia 2022 musim ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, bagaimanapun beliau tidak akan meletakkan sebarang sasaran besar tetapi yakin akan kemampuan pasukannya bersaing dengan pasukan ternama termasuk Johor Darul Takzim (JDT), Terengganu FC, Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA FC) serta pasukan-pasukan lain.

Katanya langkah tidak meletakkan sebarang sasaran dilihat tidak akan memberikan tekanan kepada para pemainnya tetapi percaya mereka mampu melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan baik.

"Saya percaya mereka tahu apa yang mereka boleh lakukan dan ingin lakukan. Paling penting adalah kita sentiasa konsisten untuk mencapai kemenangan tidak kira apa juga perlawanan dihadapi pada musim ini.

"Setiap pasukan pastinya memerlukan para pemain yang berpengalaman serta pemain muda. Ini adalah strategi jangka masa panjang skuad The Rhinos.

"Kita boleh ketengahkan mereka pada bila-bila masa. Kita sudah ada beberapa pemain berpengalaman termasuk Apek; Baddrol; Rizal; Rawilson; Saddil serta pemain import lain. Ini sudah pasti akan memberi satu keyakinan yang tinggi kepada Sabah FC," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kim Swee berkata, dalam tempoh sama juga Sabah FC mempunyai perancangan rapi untuk mencungkil bakat pemain muda tempatan untuk bersama-sama bersaing sekali gus mempelajari ilmu daripada pemain-pemain berpengalaman yang sedia ada dalam pasukan.

"Apa yang boleh kita lakukan bersama-sama dalam liga terutamanya, kita harus mempunyai pemain yang berpengalaman termasuk tenaga import berkaliber sekali gus dapat beraksi secara konsisten dalam saingan Liga Super 2022 nanti,” katanya.

Mengulas mengenai penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat yang sah menyertai pasukan Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini, Kim Swee berkata kehadiran Apek mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi di gawang gol Sabah FC.

"Salah satu kelemahan kita di musim lalu adalah di bahagian penjaga gol. Kehadiran Apek pasti akan menguatkan lagi pasukan terutamanya di bahagian pertahanan.

"Langkah ini penting untuk kita membina sesuatu terutamanya melalui penjaga gol yang berpengalaman serta boleh membimbing pemain muda dan penjaga gol muda di Sabah apabila dia berada di sini nanti," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram