Mayat misteri pakai singlet kuning, seluar pendek ditemukan terapung di Lumut


  • 112
  • Rabu, 07 Sep 2022

Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di perairan Pulau Rumbia pada Selasa. — Maritim Malaysia Perak

PENGARAH Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup mengumumkan mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di kedudukan 6.5 batu nautika barat laut Pulau Rumbia di Lumut, pada Selasa.

Sehubungan itu, bot Maritim Perkasa 1223 digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima makluman daripada nelayan tempatan pada pukul 7.55 pagi.

"Ketika ditemui mangsa hanya memakai seluar pendek dan baju singlet berwarna kuning. Pemeriksaan lanjut tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri.

"Mayat dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Mohd Hambali, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan orang hilang di laut setakat ini.

"Mana-mana individu yang mempunyai kehilangan ahli keluarga atau saudara segera hadir ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

"Komuniti maritim juga diingatkan untuk tidak ke laut sekiranya cuaca buruk selain mengutamakan keselamatan dengan memakai jaket ketika melakukan aktiviti di perairan negara," katanya.

Tambah beliau, sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri di talian 05-6838737 atau MERS 999. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram