SETIAP kali menghampiri penghujung tahun, seluruh rakyat Malaysia akan menantikan pembentangan belanjawan bajet dalam menentukan hala tuju pembangunan negara.
Begitu juga pada tahun ini apabila Bajet 2023 dikatakan akan dibentang sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan.
Menurut Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakaria Abdul Rashid, beliau menyifatkan Bajet 2023 berkemungkinan menyasarkan sebagai persediaan kerajaan berdepan dengan ‘amaran’ ketidakstabilan kewangan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
IMF seakan-akan memberi isyarat bahawa jangkaan inflasi semakin meningkat dan berkemungkinan kekal tinggi sehingga mengakibatkan negara ekonomi maju perlu agresif terhadap perlaksanaan dasar monetari.
Dr Zakaria Abdul Rashid
'Ancaman' kuasa besar dunia
Kata Dr Zakaria, perancangan kewangan kerajaan perlu seimbang dengan tahap kestabilan struktur ekonomi negara terutamanya berdepan dengan situasi inflasi global.
“Baru-baru ini IMF memaklumkan tahap ekonomi yang semakin terhimpit untuk tempoh tujuh bulan mendatang. Jadi apakah persediaan kita yang berkemungkinan akan berdepan dengan peningkatan harga barang, kehilangan kerja dan pengurangan pendapatan.
“Meskipun sekarang negara mempamerkan tahap ekonomi yang stabil memandangkan pertumbuhan dagangan import dan eksport semakin rancak.
“Namun itu tidak bererti kita mampu menafikan amaran IMF kerana 80 peratus ekonomi dunia dipengaruhi oleh negara besar seperti China, India, Kesatuan Eropoh (EU) dan Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Majoriti.
Pada masa sama Dr Zakaria turut tidak menolak pergolakan politik negara besar antara China dan AS; Rusia dan Ukraine menjadi antara faktor keadaan ekonomi semakin meruncing.
“Usaha Rusia yang memutuskan bekalan gas dan minyak merupakan satu musibah besar terhadap ekonomi global yang mengakibatkan harga bekalan bahan api meningkat.
“Apabila kos bahan api meningkat, situasi itu secara tidak langsung melibatkan penghasilan produk turut meningkat. Itu turut melibatkan peningkatan harga makanan yang akan membebankan rakyat,” jelasnya.
Rakyat perlu bijak
Oleh itu Dr Zakaria menegaskan agar kerajaan memandang serius terhadap pengukuhan struktur ekonomi negara bagi menarik minat pelabur luar melabur.
Pada masa sama Dr Zakaria turut menasihatkan agar rakyat tidak terlalu obses berbelanja dan bijak menguruskan kewangan isi rumah sebagai persediaan berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi.
“Sistem perbankan akan menawarkan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan untuk menggalakkan peminjam. Oleh itu kenal pasti yang mana keperluan dan kemahuan agar tidak menjerat diri,” ujarnya.
Untuk rekod, pembentangan Bajet 2022, kerajaan mencatat jumlah sebanyak RM332.1 bilion sekali gus menjadi angka tertinggi dalam sejarah belanjawan negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan RM233.5 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pengurusan sementara RM 75.6 bilion perbelanjaan pembangunan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram