Jangan pandang mudah Sarawak United, Kim Swee tak fikir JDT


  • Podium
  • Selasa, 09 Ogos 2022

The Rhinos tetap perlu berwaspada biarpun dalam prestasi terbaik musim ini apabila berada di kelompok dua teratas Liga Super. — Facebook/Sabah FC

SABAH FC diingatkan supaya tidak mengambil mudah cabaran Sarawak United apabila melayan kunjungan jiran tetangga itu dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa malam.

Sebaliknya menurut pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee, The Rhinos tetap perlu berwaspada biarpun dalam prestasi terbaik musim ini apabila berada di kelompok dua teratas.

Tegasnya lagi, rekod kemenangan 1-0 di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada 10 April lalu juga tidak boleh dijadikan sandaran apabila lawan mempamerkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

“Kemenangan lalu di Stadium Negeri Kuching tidak boleh diambil kira pada pusingan kedua kerana bagi saya semua perlawanan penting.

“Tambahan pula perlawanan ini melibatkan Derbi Borneo yang menyaksikan kedua-dua pasukan mempunyai sejarah yang cukup unik setiap pasukan setiap kali bertemu ia merupakan satu perlawanan yang cukup sengit.

“Seperti saya katakan, para pemain tidak boleh mengambil mudah perlawanan esok (Selasa), penting kita memberikan saingan pada mana-mana pasukan,” katanya pada Isnin.

Pada masa sama, Kim Swee juga tidak mahu pemainnya terlalu memikirkan status pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT).

“Sabah FC tidak perlu memikirkan apa yang JDT akan lakukan sebaliknya penting para pemain kekalkan momentum memastikan pasukan di landasan betul apabila kita mengakhiri musim ini.

“Kita tahu bukan sahaja JDT yang kita harus rapatkan tetapi pasukan lain seperti Negeri Sembilan dan Kedah Darul Aman juga sentiasa berada di belakang, untuk memastikan kita tidak ketinggalan mata.

“Kita tahu banyak lagi perlawanan... lapan perlawanan liga yang akan berlangsung di mana ini penting untuk kita terus kekal konsisten bagi memastikan kita berakhir di situasi yang lebih baik,” ujarnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram