SELEPAS 12 tahun, penyokong bola sepak tanah air pasti sukar melupakan momen indah apabila pasukan kebangsaan berjaya menjulang trofi Piala AFF Suzuki 2010 di hadapan penyokong yang membanjiri Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia.
Kekalahan yang dicatat dalam perlawanan akhir timbal balik itu tidak melunturkan senyuman kepada penyokong di dalam atau luar stadium apabila mereka telah mencatatkan kemenangan awal beberapa hari sebelum itu.
Pasukan yang dibanjiri bintang-bintang tempatan seperti penyerang berbisa, Safee Sali dan benteng pertahanan, Razman Roslan memastikan nama skuad itu tercatat dalam buku sejarah tersendiri.
Menjelang edisi Piala AFC hujung tahun ini, kelibat pemain-pemain yang berada dalam skuad juara pada tahun 2010 semakin sukar untuk dilihat apabila kebanyakannya sudah menamatkan karier.
Namun, terdapat beberapa pemain yang berjaya menaikkan nama negara ketika itu masih bergiat aktif kerana cukup meminati sukan ini.
1. Safiq Rahim
Tulang belakang kepada kemampuan bahagian tengah skuad Harimau Malaya ialah bekas pemain Selangor FA, Safiq Rahim yang sudah cukup berpengalaman dalam skuad kebangsaan.
Terkenal dengan hantaran jauh dan kemampuan untuk bergandingan dengan Safee Sali, Safiq memastikan pasukan itu berjaya membawa pulang trofi yang cukup berharga itu pulang ke tanah air.
Safiq memulakan kariernya bersama skuad kebangsaan pada 2007 selepas beraksi cemerlang bersama pasukan B-20 dan B-23 menerusi kemampuannya untuk merancang gerakt rakan sepasukan.
Selepas beberapa tahun beraksi bersama The Red Giants, Safiq menyertai Johor Darul Takzim (JDT) yang sedang bangkit berikutan perolehan daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris pada 2012.
Safiq Rahim sememangnya figura penting dalam dominasi JDT di pentas bola sepak tanah air. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Sejak itu, Safiq berjaya menempatkan namanya sebagai salah seorang pemain tengah terbaik yang dihasilkan negara pada zaman moden menerusi kehandalan dan personalitinya.
Safiq juga dikenali dengan kemampuannya untuk menjaringkan gol dari sepakan percuma yang menjadi aset utama dan mampu memberikan hantaran mengelirukan daripada sepakan tersebut.
Selain berjaya dilantik sebagai kapten pasukan, Safiq juga menempatkan namanya dalam kesebelasan utama JDT mahupun skuad kebangsaan meskipun kehadiran pemain-pemain bintang dalam posisi tersebut.
Dalam tempoh itu juga, Safiq berjaya meraih pelbagai kejuaraan termasuk kejuaraan Liga Super sebanyak lima kali berturut-turut selain beberapa kejuaraan lain.
Namun, kemuncak kepada karier Safiq Rahim sepanjang bersama Harimau Selatan apabila dia diberikan penghormatan untuk menjulang trofi Piala AFC 2015 selain dinobatkan sebagai pemain terbaik kejuaraan itu.
Kini, Safiq yang berusia 35 tahun masih lagi beraksi bersama Harimau Selatan setelah bergelar pemain senior serta dalam usaha mencurahkan pengalamannya bersama pemain-pemain muda bagi memastikan destini kelab itu berterusan.
Sepanjang musim ini, pemain berjersi no. 8 ini berjaya beraksi bersama pasukan ketika saingan Liga Super dan Liga Juara-juara AFC meskipun usia dan staminanya semakin terhad.
2. Norshahrul Idlan Talaha
Selain ketajaman Safee Sali dalam saingan Piala AFF Suzuki 2010, gandingan serangan, Norshahrul Idlan Talaha juga memainkan peranannya untuk menambah bisa kepada jentera serangan Harimau Malaya.
Pemain yang juga lebih dikenali sebagai 'Mat Yo' ini berjaya menjaringkan dua gol ketika edisi itu menerusi kemampuan dan kelajuannya yang menyukarkan barisan pertahanan.
Tidak cukup dengan itu, pemain kelahiran Terengganu ini juga terkenal dalam kalangan peminat bola sepak tanah air dengan kebolehannya untuk menggelecek bola di garisan padang yang mengelirukan pihak lawan.
Di peringkat kelab pula, Mat Yo juga menyertai Safiq Rahim berhijrah ke JDT selepas membantu Kelantan FA menjulang treble dalam satu kempen yang cukup bermakna.
Mat Yo pernah menyertai kelab Thailand, BG Pathum United. — Facebook/BG Pathum United
Namun, selepas kekurangan minit permainan, dia telah menyertai ATM yang ketika itu berada di bawah kendalian B. Sathianathan dalam saingan Liga Perdana.
Perpindahan demi perpindahan diikuti juga menyaksikan dia menyertai pasukan Thailand, BG Pathum buat satu musim untuk meraih lebih banyak pengalaman di liga tersebut.
Kini, Mat Yo sedang mengerah keringat bersama pasukan bergelut Melaka United FC meskipun sudah berusia 36 tahun dan tidak mempunyai kelajuan seperti dahulu.
Kemuncak kariernya pasti sukar dilupakan apabila kehadirannya dalam skuad Harimau Malaya telah mencipta kenangan ibarat 'magis' kepada peminat bola sepak tanah air.
3. Khairul Fahmi Che Mat
Salah seorang pemain tonggak yang diberikan kepercayaan oleh K. Rajagobal sepanjang kempen kejuaraan itu ialah penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat yang cemerlang sepanjang saingan itu.
Selepas menggantikan penjaga gol utama, Sharbinee Allawee, pemain kelahiran Kelantan ini memastikan posisi penjaga gawang adalah miliknya sepanjang keberadaannya bersama pasukan kebangsaan.
Pemain yang juga dikenali sebagai 'Apek' ini juga menunjukkan kecemerlangannya bermain bersama pasukan di negeri kelahirannya apabila berjaya menjulang tiga trofi dalam semusim.
Apek masih cemerlang untuk mengawal pintu gawang Sabah FC. — Facebook/Sabah Football Club
Setelah menerima pelbagai tawaran untuk meninggalkan The Red Warriors, penjaga gol ini masih berkeras untuk bersama pasukan kesayangannya meskipun menghadapi liku-liku pihak pengurusan.
Namun, Apek akhirnya meninggalkan pasukan Pantai Timur itu selepas hampir 10 tahun untuk menyertai Melaka United FC bagi membuktikan kemampuannya.
Penjaga gol ini sekali lagi berhijrah untuk menyertai Sabah FC yang berada di bawah kendalian bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee yang sedang berusaha keras untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-juara AFF musim depan.
Meskipun kariernya mengalami pasang surut, kemampuannya sebagai seorang penjaga gol sukar dipersoalkan menerusi refleks dan kebolehannya untuk menyelamatkan sepakan penalti dalam momen-momen penting.
Perkara ini dapat diterjemahkan apabila dia berjaya dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik Liga Malaysia sebanyak lima kali serta beberapa kejuaraan lain yang diperolehi sepanjang karier penuh warna-warni itu.
4. Amri Yahyah
Seorang pemain yang boleh didefinisikan sebagai serba boleh apabila dia boleh diturunkan dalam pelbagai posisi, dan mampu menyumbang keringat dan ancaman kepada pihak lawan.
Itulah Amri Yahyah yang sering menunjukkan kebolehan dan keazaman tersendiri dalam mana-mana posisi yang diturunkan.
Anak kelahiran Selangor ini sering diturunkan sebagai pemain tengah menyerang selain mempunyai keupayaan untuk bermain di posisi sayap kiri dan kanan.
Dalam saingan Piala AFF Suzuki 2010, Amri berjaya menjaringkan dua gol sepanjang kempen itu bagi membawa pulang trofi berprestij itu pulang ke tanah air.
Amri akhirnya menamatkan kariernya bersama pasukan kebangsaan setelah 13 tahun dalam pasukan Harimau Malaya dengan 63 penampilan serta berjaya menjaringkan 13 gol.
Selepas menjuarai Piala AFF Suzuki, Amri menuruti haluan kapten kebangsaan, Safiq Rahim yang menyertai revolusi Harimau Selatan untuk menjulang lebih banyak kejuaraan.
Amri (tengah) berjaya menjaringkan lima gol dalam Liga Super musim ini.
Ketika berada di pasukan itu, Amri sering mencurahkan sepenuh tenaga dalam setiap perlawanan walaupun khidmatnya kurang diberi perhatian berikutan limpahan pemain berkualiti dalam skuad itu.
Selepas hampir empat musim bersama skuad itu, Amri telah mengubah haluan kariernya untuk menyertai beberapa kelab dalam usaha meneruskan kariernya yang dipenuhi kegemilangan.
Amri juga merupakan salah seorang pemain yang menjulang Piala AFC 2015 di mana dia berjaya menjaringkan satu gol ketika peringkat separuh akhir edisi tersebut.
Kini, Amri bersama Khairul Fahmi dalam skuad The Rhinos meskipun usianya sudah menganjak 41 tahun dan bisanya sudah tidak seperti dahulu.
Bagaimanapun, kemampuannya masih sukar dipersoalkan apabila dia sudah menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Super dengan satu jaringan hatrik ketika bertemu Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
5. Mahali Jasuli
Seorang pemain pertahanan yang cukup digemari dalam kalangan peminat bola sepak negara ialah pertahanan kanan, Mahali Jasuli yang mempunyai kebolehan tersendiri dalam posisi itu.
Pemain yang cukup kental dalam aspek pertahanan membantu skuad kebangsaan sepanjang kempen itu sehingga menaikkan namanya sebagai salah seorang bek kanan terbaik yang dimiliki negara ketika itu.
Selain itu, Mahali juga mempunyai kemampuan untuk membawa bola ke kawasan lawan menerusi kepantasannya untuk menggelecek bola selain mengejar hantaran yang dilakukan rakan sepasukan.
Perkara ini semestinya memberikan dimensi berbeza buat pasukan yang disertainya apabila sumbangan menyeluruh itu mampu menjadi kunci kepada kejayaannya.
Mahali masih bermain dengan cemerlang sebagai bek kanan bersama PJ City FC. — Facebook/PJ City FC
Mahali akhirnya menamantkan kariernya bersama pasukan kebangsaan pada 2018 selepas membantu pasukan kebangsaan untuk berentap dalam kejuaraan dan perlawanan di peringkat antarabangsa.
Seperti Safiq dan Amri, Mahali turut memainkan peranan penting di peringkat kelab apabila berjaya mengekalkan namanya sebagai salah seorang pemain pertahanan konsisten ketika berada di JDT.
Dia juga merupakan salah seorang pemain yang membantu Harimau Selatan untuk muncul sebagai satu-satunya kelab di ranjau ini untuk menjuarai Piala AFC selepas bergelar juara pada 2015.
Kini, Mahali beraksi bersama PJ City FC selepas menyertai pasukan itu pada 2020 dan sering turun sebagai kapten berdasarkan usia dan pengalamannya sepanjang berbelas tahun kariernya itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram